Pakej Berbasikal Tarikan Terbaharu Pelancongan Kedah


ALOR SETAR 5 Julai - Pakej Berbasikal Kedah Darul Aman kini menjadi tarikan terbaharu untuk pelancong dari luar negara dan tempatan yang datang ke negeri ini. Usaha itu mula dilaksana kerajaan negeri bersama Tourism Malaysia negeri Kedah sejak sebulan lalu dan mendapat kerjasama daripada syarikat ejen pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, terdapat empat pakej yang disediakan di tanah besar iaitu Sedim Back To Nature, Merbok Heritage Trail, Alor Setar Saturday Nite Ride dan Alor Setar Heritage Trail. "Kita turut sediakan enam pakej berbasikal di Pulau Langkawi iaitu Kampung Fun Ride, Langkawi Mount Biking, Discover The Unknown Tuba Island, Langkawi Cross Country Ride, Nature Cycling Trip dan juga Langkawi Cross Country Ride.

"Menerusi pakej ini pelancong dapat menikmati tempat menarik yang ada di negeri ini dengan cara berbasikal," katanya kepada pemberita di sini kelmarin. Aktiviti berbasikal sebelum ini telah diadakan sempena Saturday Nite Ride yang mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 1,000 penyertaan.

Mohd. Rawi berkata, melancong sambil berbasikal di negeri ini akan diteruskan tahun hadapan dengan mengadakan Royal Kedah Bicycle Festival pada 27 November hingga 29 November. "Program ini akan diadakan di Pedu, Gunung Keriang dan bandar raya Alor Setar yang kita jangkakan dapat menghimpun peminat basikal lebih 3,000 peserta," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memfokuskan kepada beberapa produk pelancongan lain yang terdapat di negeri ini untuk menarik lebih ramai lagi kemasukan pelancong. "Kedah banyak produk pelancongan yang menarik bukan sahaja di Langkawi malah di tanah besar dan kita sedang dalam perhatian untuk bangunkan beberapa tempat," katanya.

Mohd. Rawi berkata, tahun lalu jumlah kemasukan pelancong ke tanah besar adalah 2.8 juta orang dan beliau menyasarkan jumlah itu meningkat kepada enam juta tahun depan.

Sumber: Utusan