
JERLUN 15 Julai - Penduduk Jerlun tidak perlu khuatir kepentingan mereka akan terjejas dengan cadangan membangunkan kawasan ini sebagai pusat industri minyak dan gas kerana pelaksanaannya kelak pasti mengambil kira segenap aspek serta tidak menganiaya mana-mana pihak.
Ahli
Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz berkata, penduduk perlu memberi
keyakinan kepada kerajaan Kedah untuk menjayakan projek tersebut agar
seluruh rakyat dapat menikmati manfaatnya.
"Saya
yakin kerajaan Kedah tidak akan melakukan perkara yang merugikan
penduduk. Saya menyeru masyarakat Jerlun supaya memberikan kerjasama dan
sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap pelaksanaannya nanti," katanya
di sini hari ini.
Pembangunan
Jerlun sebagai pusat industri minyak dan gas yang mengambil kesempatan
daripada perjanjian dua hala Malaysia-Thailand adalah antara rancangan
yang terkandung dalam manifesto Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah
sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Othman
berkata, projek itu merupakan bidang pembangunan baharu untuk dinikmati
oleh rakyat pada masa hadapan, sejajar dengan peredaran zaman. Kata
beliau, pelaksanaannya akan mengubah landskap Jerlun dan negeri ini
amnya dalam aktiviti ekonomi yang memberikan kelebihan kepada penduduk
tempatan meningkatkan pendapatan, selain mewujudkan peluang pekerjaan.
"Saya
berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kemajuan
fizikal Jerlun dan faedahnya untuk dinikmati rakyat," ujar beliau.
sumber: Utusan