Nasib 893 Pelajar Kedah Dipantau

mukhriz-songkok
Jitra 14 Julai: Nasib 893 pelajar Kedah yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Mesir kini dipantau bagi menjamin aspek keselamatan mereka.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata, berikutan itu beliau meminta pelajar terbabit menghindarkan diri daripada mendekati kawasan rusuhan. Katanya, kerajaan negeri turut mendapat laporan daripada pegawai berkaitan mengenai keadaan pelajar dari negeri ini, dan sentiasa mengutamakan soal keselamatan dengan memantau perkembangan terkini mereka dari semasa ke semasa.

“Jika keadaan menjadi semakin meruncing, kerajaan negeri akan memikirkan tindakan selanjutnya dalam usaha menjamin keselamatan pelajar Kedah di sana (Mesir). “Kita mungkin akan membawa pulang pelajar Kedah tetapi ia bukan satu langkah yang perlu diutamakan kerana untuk menjamin keselamatan, banyak cara lain yang dapat kita lakukan. “(Mungkin) kita boleh pindahkan mereka ke kawasan lebih selamat di Mesir dalam usaha memastikan keselamatan mereka terjamin serta tidak mengeluarkan belanja yang terlalu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 280 guru al-Quran, bidan kampung dan tok mudim di Masjid al-Muttaqin, Pida 3, Tunjang, di sini, kelmarin. Menurutnya, tindakan memindahkan pelajar ke kawasan lebih selamat bertujuan memudahkan mereka meneruskan pengajian apabila keadaan di negara terbabit semakin pulih.

“Kita akan berbincang dengan Kerajaan Pusat, apakah tindakan yang akan mereka ambil dan kerajaan negeri akan mengikut apa yang disyorkan,” katanya.

Sumber: Metro