Oleh SAHBULAH DARWI dan SAFINA RAMLI
NAJIB
Tun Razak memberi sumbangan kepada anak-anak yatim sambil diiringi
Mukhriz Tun Dr. Mahathir sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedah di Dewan
Wawasan Kubang Pasu, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
KUBANG
PASU 21 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan
melaksanakan model baharu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) bagi memperkasakan kepimpinan akar umbi itu di seluruh negara
mulai tahun depan.
Perdana
Menteri berkata, model baharu itu antara lain menetapkan syarat had
umur maksimum yang munasabah bagi individu berkhidmat iaitu tidak lebih
daripada 65 tahun.
"Had umur yang ditetapkan adalah munasabah, lebih tinggi daripada had umur pesara awam.
"Kalau
dah sampai 70 tahun dan tinggal dua batang gigi sukar pula nak buat
kerja, umur 60 tahun pula masih bertenaga jadi umur 65 tahun ini
sesuai," katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa Perdana
Menteri Bersama JKKK Kedah di Dewan Wawasan di sini hari ini.
Yang
turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir,
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,
Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum serta kenamaan
lain.
Menurut
Najib, antara ciri-ciri lain yang terkandung dalam model baharu
tersebut adalah sesi latihan bagi menambah ilmu serta keberkesanan
kepimpinan peringkat JKKK.
"Elaun mesyuarat untuk JKKK juga akan kita kaji semula dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kerajaan," katanya.
Menurut
Perdana Menteri, tempoh jangka hayat perkhidmatan JKKK yang sepatutnya
tamat pada Jun lalu akan dipanjangkan sehingga akhir tahun.
Dalam
pada itu, katanya, semua JKKK di Kedah perlu membantu kepimpinan
Mukhriz agar segala perancangan pembangunan untuk negeri ini berada di
landasan yang betul.
"Saya
berharap setiap JKKK yang dilantik akan memainkan peranan sepertimana
yang digariskan. Fungsi JKKK ialah untuk menjadi tiang utama yang dapat
tegakkan kerajaan negeri untuk membela rakyat," katanya.
Sementara
itu, kata Najib, kerajaan Pusat akan memberi komitmen sebanyak 110
peratus kepada kerajaan negeri Kedah dalam usaha memajukan negeri itu
setanding negeri-negeri jiran yang lain.
"Saya
umumkan sebagai Perdana Menteri adalah menjadi tanggungjawab saya kalau
rakyat dah bagi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), saya akan bagi
110 peratus komitmen.
"Kalau
tidak mampu saya gagahi diri juga supaya rakyat Kedah dapat melihat
bahawa sokongan mereka terhadap BN adalah tepat," jelasnya.
Sementara
itu, Najib kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih
berjemaah di Masjid Al-Muttaqin di Bandar Darulaman, Jitra dekat sini.
Najib seterusnya menikmati moreh serta bersalaman dengan para jemaah
sebelum meninggalkan masjid itu.
Sumber: Utusan