35,000 Bayi Di Kedah Dapat Kit Kelahiran

3kitMUKHRIZ Mahathir (kiri) menyampaikan Kit Kelahiran kepada seorang ibu bersama anakanya dalam majlis pelancaran Kit Kelahiran di Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - utusan/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 3 Mac - Kerajaan negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan Kit Kelahiran kepada semua bayi yang baharu dilahirkan di negeri ini bermula bulan ini.

Kit Kelahiran yang mengandungi keperluan khas bayi seperti botol susu, selimut dan pakaian itu diedarkan melalui hospital-hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, inisiatif terbaharu itu merupakan salah satu manifestasi kepada manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Katanya, sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi projek tersebut yang dijalankan melalui Skim Insentif Kelahiran Anak yang dijangka memanfaatkan 35,000 bayi baharu lahir sehingga akhir tahun ini.

"Kerajaan menyedari bahawa anak merupakan permata hati keluarga dan aset negara pada masa hadapan, justeru, kehadiran mereka perlu dirai dan dihargai.

"Sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar keperluan rakyat, maka Skim Insentif Kelahiran Anak merupakan satu penghargaan kerajaan kepada pasangan suami isteri yang akan menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran skim berkenaan di sini semalam.

Mukhriz berkata, skim tersebut merupakan tambahan kepada bantuan kewangan sedia ada di bawah JKM negeri.

Katanya, kerajaan secara berterusan juga berusaha meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat yang tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran.

"Selain skim tersebut, kerajaan negeri turut bersetuju meluluskan bajet sebanyak RM19.5 juta di bawah Rancangan Bantuan Am Negeri pada 2014 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang penerima," katanya.

Sumber:Utusan