Kedah Mahu Jadi Antara Terbaik Dalam UPSR, SPM, STPM

24kedah
Mohd. Tajudin Abdullah (barisan kedua dari belakang) bersama-sama sebahagian daripada pelajar dalam Bengkel Skor 'A' SPM Pelajar-pelajar Luar Bandar Daerah Sik, baru-baru ini.

SIK 24 September - Kedah menyasarkan untuk berada di antara tangga pertama hingga kelima bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan, semua pihak seperti ibu bapa, guru dan pelajar harus bekerjasama.

"Kerajaan negeri mahu melihat Kedah menduduki antara tangga teratas dan terbaik dalam sistem pendidikan negara.

"Untuk memastikan perkara ini menjadi kenyataan, ibu bapa, guru dan para pelajar perlu saling bantu-membantu antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bengkel Skor 'A' SPM Pelajar-pelajar Luar Bandar yang dianjurkan Pertubuhan Kelab Anak-anak Sik di Dewan Kolej KEDA, Rimba Taqwa di sini baru-baru ini.

Seramai 150 peserta terpilih daripada keluarga miskin dari tujuh sekolah menengah menyertai program tersebut.

Menurut Mohd. Tajudin, semua pihak tidak harus meletakkan tanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik para pelajar kepada pihak sekolah, terutamanya guru-guru.

"Ibu bapa dan pelajar sendiri perlu ada kesedaran dan komitmen untuk mencapai kejayaan yang diingini.

"Pelajar juga tidak harus lalai dan melepaskan peluang yang ada, di samping berlumba untuk mencipta kejayaan sehingga ke peringkat tertinggi," jelasnya.

Sumber : UTUSAN