Semua Acara Rasmi Hari Raya Aidilfitri Dibatalkan

27batal
ALOR SETAR 27 Julai - Kerajaan Negeri Kedah telah membuat keputusan  untuk membatalkan semua acara rasmi Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, keputusan yang dibuat itu adalah sebagai berkongsi kesedihan dan menghormati keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

“Ini termasuklah membatalkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon pada 2 Ogos 2014.

“Keputusan ini adalah sejajar dengan keputusan Kabinet yang membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jemaah Menteri 2014,” ujarnya.

Beliau berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut dengan meneruskan amalan kunjung-mengunjung dan penuh kesederhanaan.

Sumber:UMTK

Penekanan Terhadap Aspek Pembangunan Modal Insan

27insan
ALOR SETAR 27 Julai - Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dalam  usaha melaksanakan pembangunan fizikal dan ekonomi negara.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun ini telah memantapkan lagi gerakan pembangunan luar bandar yang melibatkan masyarakat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Gerakan yang dimaksudkan adalah Gerakan Daya Wawasan 3.0. Ianya merupakan satu gerakan berterusan dalam usaha mentransformasikan kepimpinan JKKK agar menjadi institusi berwibawa dan mampu berperanan sebagai agen transformasi yang berkesan dalam menggerakkan penglibatan aktif komuniti setempat bagi merealisasikan wawasan desa yang maju, makmur dan sejahtera,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Menurutnya, tanggungjawab yang paling utama bagi JKKK ialah sebagai penyampai dasar dan hala tuju Kerajaan kepada masyarakat serta menerima maklum balas terhadap perkara-perkara yang melibatkan rakyat seperti masalah, harapan dan cadangan untuk dikemukakan kepada Kerajaan.

“Kerajaan telah pun mengambil beberapa pendekatan dalam transformasi struktur, antaranya dengan meletakkan had umur kelayakan seseorang JKKK di sekitar umur 65 tahun. Turut digalakkan ialah penyertaan 30 peratus golongan belia dalam JKKK.

“Kewajipan menghadiri kursus induksi yang merupakan salah satu tindakan mentransformasikan struktur JKKK. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada JKKK Negeri Kedah yang telah hadir dalam kursus induksi yang merupakan kursus yang wajib bagi Pengerusi dan Setiausaha JKKK,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato’ Abu Bakar Din dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Dato’ Haji Mohd Arpan Shari. 

Sumber:UMTK

JKKK Jangan Pilih Kasih - Mukhriz

Oleh ABD RAZAK OSMAN
24jkkkMukhriz Tun Dr. Mahathir (tengah) bersama dengan sebahagian penerima elaun JKKK Peringkat Zon Selatan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah, semalam. - Utusan/Abd. Razak Osman

SUNGAI PETANI 24 Julai - Semua ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta berintegriti dan sanggup bekerja secara lebih berhemah tanpa ada amalan pilih kasih terhadap penduduk di kawasan masing-masing. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, ia merupakan cara terbaik untuk memajukan masyarakat desa melalui dasar-dasar baharu setelah diperkenalkan oleh kerajaan.

"Mereka juga perlu berani menjawab sebarang prasangka buruk setelah disebarkan oleh pihak tertentu kepada kerajaan, termasuk berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini, tidak lama lagi" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan elaun kepada seramai 1,444 JKKK termasuk pengerusi dan setiausaha peringkat Zon Selatan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, di sini hari ini.

Menurutnya, setiap komen rakyat melalui JKKK perlu disampaikan ke peringkat atasan kerana ia boleh dijadikan panduan untuk membuat perubahan.

"Pemimpin JKKK perlu menyusun strategi baharu di samping sanggup mengikuti pelbagai kursus anjuran kerajaan negeri kerana mereka adalah ejen transformasi di peringkat tempatan," katanya.

Seorang penerima elaun, M. K. Sennivasan, 56, dari Kampung Cempedak, Jalan Padang Lembu, Gurun berkata, tanggungjawab JKKK ketika ini banyak berubah dan mereka perlu berbuat sesuatu agar masyarakat tidak mempertikaikan tentang tugas yang dilakukan.

Sumber:Utusan

Sumbangan Kuih Raya Kepada Anggota-anggota Keselamatan Negera

24kuih
ALOR SETAR 24 Julai – Umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah puasa dengan aman kerana jasa dan khidmat bakti yang diberikan oleh anggota–anggota keselamatan negara.

Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (BIDARA), Tok Puan Norzieta Zakaria berkata, sebagai warganegara Malaysia, kita harus bersyukur atas nikmat keamanan yang dikurniakan Allah SWT dan mestilah berusaha untuk mempertahankannya.

“Namun begitu, janganlah kita lupa kepada saudara Islam di bumi Palestin yang sedang bersedih dan berusaha menyelamatkan diri dari bedilan roket yang dilancar rejim Zionis.

“Keganasan serta serangan itu menyebabkan ramai rakyat Palestin termasuk kanak-kanak telah terkorban manakala beratus-ratus lagi tercedera. Marilah kita panjatkan doa kepada Allah SWT supaya Palestin kembali aman,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kuih raya kepada anggota-anggota keselamatan negara di Negeri Kedah di Dewan Seri Melor, Mentaloon, di sini.

Menurutnya, beberapa hari lalu negara telah dikejutkan dengan peristiwa Pesawat MH17 yang terhempas setelah ditembak pengganas di kawasan perkampungan Donetsk di sempadan Ukraine dan Rusia.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan syabas kepada anggota-anggota keselamatan negara di Negeri Kedah  atas khidmat cemerlang mereka dalam memelihara keamanan serta kesejahteraan rakyat Negeri Kedah,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Datin Rodziah Yob; Timbalan Pengerusi PERKEP, DCP Dato’ Zaleha Abdul Rahman; Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Anggota Tentera (BAKAT), Puan Endahsari Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Isteri-Isteri Bomba dan Penyelamat (PRISMA), Puan Rosmah Abu Bakar serta Pengerusi Persatuan  Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP), Datin Fauziah Ishak.

Sumber:UMTK

Rancang Bina Makam Syuhada

24makam
ALOR SETAR 24 Julai –  Kerajaan Negeri berhasrat membina sebuah makam syuhada sekitar Masjid Zahir untuk memperingati pejuang yang mati syahid ketika berlaku peperangan antara Siam dan Kedah pada tahun 1821.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, pelaksanaannya perlu mendapat perkenan Sultan Kedah yang juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Idea mewujudkan makam itu tercetus hasil lawatannya ke Kota Iskandariah, Mesir yang terkenal dengan sejarahnya. Tidak ramai yang mengetahui sewaktu peperangan itu, 1,019 pejuang mati syahid dan sebahagiannya dikebumikan di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ringkas diterangkan mengenai pusara pejuang terbabit. Jika boleh kita mahu perincikan lagi sejarah mereka yang syahid supaya kisahnya dapat dijadikan teladan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau menjelaskan, pembinaan makam itu kelak bakal menarik kunjungan lebih ramai pelancong melalui pelancongan berbentuk dakwah atau kerohanian.

“Selalunya ramai yang berminat mengetahui kisah alim ulama, contohnya melawat kawasan tanah rata puncak Gunung Jerai yang dipanggil ‘Padang Tok Sheikh’ sempena nama Sheikh Abdullah seorang pendeta Arab yang berusaha mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah.

“Sebagai peringkat permulaan, saya sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus  Mat Zain supaya arkitek yang menjalankan kerja pengubahsuaian dalam kawasan Masjid Zahir memperuntukkan sudut khas untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, Kedah adalah antara negeri paling ramai syuhada kerana sering terlibat dalam peperangan pada masa lampau.

Sumber:UMTK

Lima Pasar Tani Bakal Dibuka

24tani
ALOR SETAR 24 Julai – Sebanyak lima pasar tani baru akan dibuka di lokasi-lokasi yang terpilih di negeri ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli pelbagai jenis barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, antara pasar tani baru yang akan dibuka adalah di Alor Setar, Padang Terap, Pendang, Kulim serta Kubang Pasu.

“Buat masa ini, di Kedah terdapat 18 lokasi pasar tani dengan 40 kali operasi pada setiap minggu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang dalam proses untuk menambah bilangan pasar tani di negeri ini.

“Lokasi di mana pasar tani ini akan beroperasi bergantung kepada kelulusan majlis daerah dan saya yakin dengan keadaan pasar tani yang berwajah baru dengan barangan yang lebih tersusun.

“Lebih ramai pengguna akan memilih pasar tani untuk membeli barangan keperluan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pasar Tani Pra-Syawal Peringkat Negeri Kedah di Pasar Tani Taman Wira Mergong, di sini.

Menurutnya, sempena musim perayaan ini juga, pengguna berpeluang mendapatkan harga barangan dengan lebih murah iaitu sekitar lima hingga 20 peratus bagi barangan yang terpilih.

“Pengguna kena bijak mencari barangan yang dijual di gerai-gerai yang mempunyai tanda ‘jimat harga dapur’  bagi mendapatkan barangan dengan lebih murah.

“Pada musim-musim perayaan seperti ini, kita mesti mengambil peluang sebaiknya bagi mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan di pasar tani,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, proses pembinaan Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) di Kuala Kedah juga berjalan dengan lancar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan bakal dirasmikan pada tahun 2015.

“Pembinaan yang melibatkan kos sebanyak RM3.4 juta ini akan beroperasi 24 jam yang mana melibatkan tiga giliran iaitu pada waktu pagi, petang dan malam dan peniaga tidak perlu lagi menggunakan khemah untuk berniaga,” katanya.

Sumber:UMTK

Sumbangan Zakat Kepada 68 Asnaf

23asnaf
SUNGAI PETANI  23 Julai - Menunaikan tanggungjawab sosial dalam bulan Ramadan termasuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dapat memupuk dan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya berkata, usaha itu bukan sahaja memberi erti yang besar dalam membantu golongan yang memerlukan bantuan, malah dapat memastikan pemimpin rakyat peka terhadap keperluan dan masalah rakyat.

"Walau semaju mana pun sesebuah negara, amalan kemasyarakatan seperti tolong-menolong perlu terus dipupuk demi mewujudkan sebuah masyarakat sejahtera," katanya pada majlis penyampaian sumbangan zakat kepada 68 asnaf di Masjid Puteri Jaya, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja sosial bukan merupakan satu tugas mudah kerana perkara tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Sehubungan itu, beliau mahu lebih banyak pihak tampil menjayakan tanggungjawab sosial terutama membantu meri­ngankan beban golongan miskin agar mereka turut sama meraikan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Tambahnya, hal demikian kerana golongan kurang bernasib baik termasuk warga emas serta anak yatim memerlukan bimbingan, panduan dan peluang untuk meneruskan hidup mereka pada masa depan.

Sumber:UMTK