Kenal Pasti Pemilik Jambatan - Datuk Tajul Urus

28jambatan

YAN 28 Mei –  Kerajaan Negeri akan mengenal pasti semula status pemilikan jambatan yang menghubungkan tanah besar di Daerah Yan ke Pulau Bunting.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain, perkara itu perlu bagi membolehkan Kerajaan Negeri dapat memajukan pulau tersebut.

“Sebenarnya jambatan ini ditutup untuk orang ramai dan kita tidak tahu siapa pemiliknya. Secara umumnya, ia bukan dimiliki Kerajaan Persekutuan kerana tiada dalam Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Namun kita percaya, urusan pembinaan jambatan ini mungkin dilakukan Kerajaan Negeri terdahulu dengan kerjasama swasta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Bunting, di sini.

Tambahnya, jambatan yang dibina sejak tahun 2003 itu juga hanya boleh dilalui dengan motosikal kerana berpagar.

“Saya akan melihat semula fail-fail lama kerana saya yakin kerja-kerja pembinaan jambatan itu ada di pihak Kerajaan Negeri.

“Selepas status pemilikan itu diketahui, kita akan minta pihak JKR untuk melakukan pemeriksaan dari segi keselamatan, ketahanan dan sebagainya terhadap jambatan itu sebelum digunakan,” katanya.

Beliau menjelaskan, perkara itu penting bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Bunting sebagai Pelabuhan Kedah (Kedah Port) tercapai.

“Kerajaan Negeri sebenarnya serius nak mengadakan pelabuhan di Pulau Bunting. Kalau dilihat dari segi infrastruktur, kita sudah ada jambatan dan jalan yang menghubung tanah besar ke pulau ini.

“Pada masa sama, kita pun tahu Pelabuhan Pulau Pinang (Penang Port) juga sudah padat dan melimpah. Jadi kita boleh bina pelabuhan baru sebagai alternatif,” ujarnya.

Katanya, beliau juga akan mengadakan perbincangan lebih serius dengan pihak berkaitan mengenai perkara itu.

“Sudah tiba masanya untuk kita bina kawasan pelabuhan di Pulau Bunting. Tambahan pula, baru-baru ini Syarikat Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd telah memeterai perjanjian perkongsian dengan Kerajaan Negeri bagi pembinaan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY),” ujarnya.

Mengulas mengenai cadangan penduduk setempat yang mahu Pulau Bunting dijadikan sebagai kawasan pelancongan, katanya, banyak lagi kawasan lain yang boleh dijadikan untuk tujuan pelancongan.

“Sebenarnya banyak lagi kawasan yang ada potensi untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan. Misalnya Pulau Songsong dan Pulau Telur,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembinaan pelabuhan itu diyakini dapat membantu mengembangkan industri automotif di negeri ini.

Beliau berkata, melalui pelabuhan itu, Kedah tidak perlu terlalu bergantung kepada Pelabuhan Pulau Pinang yang semakin hari semakin sesak.

Sumber:UMTK