PONTENG SOLAT JUMAAT DIDENDA RM1,000


Syeikh Faisol Hj Omar
ALOR SETAR 11 Mei - Mulai 1 Jun ini, denda sebanyak RM1,000 atau penjara melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bakal menanti kaum lelaki di negeri ini yang melakukan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut.
Hukuman juga akan dikenakan kepada mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kariah sendiri atau tidak uzur syarie dan tidak ada alasan munasabah.
Semua hukuman itu akan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) berdasarkan aturan Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 berkaitan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIK, Sheikh Ahmad Fisol Omar, pihaknya bagaimanapun, pihaknya tidak akan mengeluarkan saman secara membuta, sebaliknya akan bertindak mengikut aduan yang dibuat oleh orang awam.
“Sekiranya pesalah gagal untuk memberi kerjasama kita akan mohon waran tangkap daripada Hakim Mahkamah Syariah,” katanya kepada pemberita di pejabat JAIK di sini hari ini.
Menurut Syeikh Ahmad Fisol, perkara itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 yang telah diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri tahun lalu.
Beliau berkata, tarikh penguatkuasaan hukuman itu bermula pada 1 Feb­ruari lalu, namun Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK akan mula menguatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Jun ini.
“Kita telah mengadakan pe­nerangan ke 12 daerah untuk me­nerangkan cara terperinci berkaitan undang-undang ini kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang. Kita juga telah mengedarkan poster dan mengeluarkan pekeli­ling kepada 568 masjid di seluruh Kedah,”ujarnya.
Tambahnya, orang awam boleh mendapatkan borang aduan untuk melaporkan mengenai mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat di pejabat-pejabat agama di setiap daerah .
“Maklumat pelapor akan dirahsiakan dan mereka akan dijadikan sebagai saksi bagi membolehkan tindakan diambil ke atas pesalah.
“Sebelum ini kami banyak me­nerima aduan mengenai kehadiran golongan lelaki di tempat awam semasa solat Jumaat berlangsung jadi dengan undang-undang baharu ini diharapkan dapat mengurangkan jumlah pesalah yang meninggalkan solat Jumaat,” jelas beliau.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan