SYARAT UNTUK MASYARAKAT SIAM DILONGGAR


27syarat
PADANG TERAP 27 Mac - Kerajaan Kedah hari ini bersetuju memenuhi permintaan masyarakat keturunan Siam di negeri ini termasuk pembelian rumah di atas Tanah Rizab Melayu di Taman Sejahtera di Sik.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, walaupun taman perumahan tersebut berstatus Tanah Rizab Melayu tetapi dengan kuasa yang ada kerajaan memberi kelonggaran syarat bagi membolehkan lebih ramai masyarakat Siam memiliki rumah.
Beliau membuat pengumuman tersebut ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Siam di Perkampunang Chanding di sini, hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dihadiri kira- kira 5,000 masyarakat Siam dari beberapa daerah di negeri ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju supaya bagi setiap permohonan oleh masyarakat Siam untuk mendapatkan tanah pertanian hanya perlu mengemukakan satu sijil pertanian sahaja.
Ini bermakna satu sijil permohonan saja akan dikemukakan selepas ini selain kerajaan bersetuju supaya tarikh luput bagi Sijil Pertanian Siam dihapuskan.
“Kerajaan negeri juga bersetuju supaya pesara polis dan tentera berketurunan Siam layak memohon dan memiliki sijil tersebut di mana sebelum ini mereka tidak layak berbuat demikian. Ini untuk mengenang jasa dan pengorbanan besar mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara selama ini,” katanya.
Selain itu, katanya, Pesta Songkran yang disambut pada April setiap tahun akan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri Kedah dan akan memberi bantuan khas untuk sambutan itu itu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat Siam di negeri ini tidak membuat kesilapan dengan memberi undi kepada Harapan yang diterajui DAP pada PRU14 akan datang kerana ia akan merugikan masyarakat itu.
"Jangan kita lupa kuasa yang ada ditangan kita patut dipertahankan dan jangan silap pilih kerana kuasa ini nak tentukan masa depan negeri bagi lima tahun lagi. Rakyat Kedah jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang hanya mahu meraih undi," katanya.
Sumber : Sinar