BUKTI MALAYSIA TEGAK SYIAR ISLAM


27BUKTI
KUBANG PASU 27 Mac – Pengiktirafan Liga Islam Sedunia (MWL) terhadap kejayaan Malaysia memupuk konsep kesederhanaan sehingga menjadi negara Islam contoh membuktikan kerajaan komited dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengiktirafan itu sekali gus menolak tuduhan kononnya Malaysia bu­kan negara Islam atau komitmen yang diberikan untuk meninggikan martabat Islam terlalu longgar.
“Apabila kita perkenalkan dasar wasatiyah atau kesederhana­an, itulah yang dikatakan salah satu prinsip asas dalam Islam.
“Liga Dunia Islam, bukan kita bayar gaji dia (untuk beri peng­iktirafan) sebaliknya ia melihat, teropong seluruh negara dan Malaysia dijadikan contoh negara Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian sele­pas bersarapan dengan kira-kira 1,000 guru dan pelajar pon­dok serta pengetua sekolah agama rakyat (SAR) di negeri ini di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah, Pondok Tanjung Ka­pur di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Ba­shah Md. Hanipah dan Pengerusi Pertubuhan Jemaah Pondok-pondok Negeri Kedah, Sabri Osman yang juga mudir madrasah tersebut.
Berhubung institusi pendidikan agama, beliau memberitahu, kerajaan akan memastikan pusat pengajian itu termasuk pusat-pusat tahfiz dan sekolah pondok terus mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan.
“Malah, ia dijadikan sebagai dasar dan agenda penting kerajaan dan ini terbukti apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang selama ini tidak wujud,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan mempunyai matlamat jangka panjang dalam pelaksanaan DPTN termasuk melahirkan se­banyak 125,000 hufaz profesional.
“Kita telah membuka saluran kepada pelajar tahfiz untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan sebanyak RM6.1 juta bagi membaikpulih masjid dan surau serta pembangunan SAR dan sekolah pondok di negeri ini.
Bantuan itu melibatkan sebanyak RM4 juta untuk kerja-kerja baik pulih masjid dan su­rau sementara sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi kegunaan asrama di 25 buah SAR ma­nakala sebanyak RM160,000 pula diserahkan kepada 11 buah sekolah pondok.
Sumber : Utusan