AJAK RAKYAT JIWAI AL-QURAN


13ajak
ALOR SETAR 13 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengajak rakyat Kedah kembali menjiwai pengisian al-Quran dalam kehidupan bagi melahirkan generasi unggul atau dikenali generasi al-Quran.
Katanya, selagi penghayatan kepada al-Quran tidak diterapkan dalam kehidupan umat Islam, selagi itu umat Islam akan terus ditindas.
“Apa yang menyedihkan, kecemerlangan dan ketamadunan yang dipelopori umat Islam sedikit masa lalu kini hanya menjadi catatan sejarah yang memenuhi ruang khazanah pustaka. Seolah tiada kesinambungan yang dapat diwarisi umat Islam masa kini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri di Wisma Darul Aman.
Menurutnya, dunia barat yang bermula dengan kemunduran sudah mendaki puncak kemodenan, berbeza dengan Tamadun Islam yang dulunya cemerlang namun kini diibaratkan sedang nazak.
“Umat Islam bergelumang dengan konflik dan perbalahan sesama sendiri, hidup berpuak-puak, tidak mempunyai semangat muafakat dan bersikap individualistik, pentingkan diri. Teorinya mudah, hilangnya mahkota kegemilangan Islam pada saat ini berpunca daripada sikap kita menjauhi al-Quran, kita tidak endahkan seruan al-Quran,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, sehubungan itu kerajaan negeri sentiasa memartabatkan syiar Islam dan al-Quran melalui pelbagai aktiviti, antaranya penganjuran majlis tilawah al-Quran.
“Kecemerlangan tidak mampu diraih melainkan dengan panduan al-Quran. Saya bersama barisan pimpinan kerajaan negeri akan terus komited memastikan penghayatan al-Quran melalui pengajaran dan pembelajaran ilmu agama terus subur di negeri ini,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, antara inisiatif adalah membina lebih banyak sekolah agama, selain pelbagai insentif diberikan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Majlis Agama Islam Kedah (Maik) serta Lembaga Maktab Mahmud.
“Menerusi Bajet 2018, kerajaan negeri peruntuk RM4 juta naik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah, serta dana pengurusan RM2,000 sebulan kepada 11 pondok bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 20 pondok dan 64 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik) menerima dana khas one-off, RM10,000.
“Kita juga perkenalkan program Barakah Masjid dengan dana RM3 juta, untuk kepentingan kariah dan ummah. Elaun bulanan imam juga dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200, manakala elaun bilal daripada RM750 kepada RM900. Elaun siak juga naik daripada RM475 kepada RM700,” katanya.
Oleh : Roslinda Hashim
Sumber : Sinar