JPN SEDIAKAN LAPORAN KEROSAKAN PERALATAN


6jpn
PADANG TERAP 6 Januari - Kementerian Pendidikan mengarahkan semua jabatan pendidikan negeri (JPN) menyediakan laporan lengkap mengenai kerosakan peralatan sekolah terutamanya buku teks akibat banjir dengan kadar segera.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak 34 sekolah rendah ditutup dan 31 sekolah dijadikan pusat pemindahan berikutan banjir yang melanda baru-baru di empat negeri.
“Empat negeri yang terjejas ialah Pahang sebanyak 27 sekolah, Terengganu (5), Johor (2) dan Sarawak yang melibatkan keseluruhan jumlah seramai 7,406 murid.
“Arahan sudah dikeluarkan bagi mengetahui berapa banyak kerosakan seperti kerusi dan meja namun paling utama ialah buku teks bagi membolehkan tindakan segera dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di selepas menghadiri perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Pelawat dan melawat Unit Homodialisis Hospital Kuala Nerang di sini hari ini.
Menurutnya, hal berkaitan penggantian barangan yang rosak akibat banjir seperti buku teks boleh disegerakan tanpa perlu menunggu keadaan reda dan kembali pulih.
“Banjir adalah situasi darurat maka apabila kita sudah menerima laporan lengkap, langkah pembaikan dan penggantian barang yang rosak dapat disegerakan dengan menghantar kontraktor sekali gus pembelajaran tidak terganggu,” katanya.
Sumber : Utusan