BANTU FAMA TAMBAH PASAR TANI


14bantu
ALOR SETAR 14 Januari - Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menyediakan kemudahan bagi mewujudkan lebih banyak pasar tani berkonsep kekal di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, langkah menambah tapak pasar tani kekal itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna mendapatkan barang keperluan segar pada harga berpatutan.
“Kita bersedia bekerjasama bagi membolehkan usaha Tan Sri Badruddin Amiruldin selaku Pengerusi FAMA untuk mewujudkan pasar tani kekal.
“Yang mana tanah-tanah (tapak pasar tani kekal) akan dipertimbang kerajaan negeri manakala pembangunan oleh FAMA,” katanya selepas melawat Pasar Tani Taman Wira di sini hari ini.
Terdahulu, beliau turut me­nyampaikan sumbangan bara­ngan makanan seperti beras, gula, susu dan biskut kepada kira-kira 400 keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Taman Wira, di sini.
Menurut Ahmad Bashah, pada masa ini terdapat lima pasar tani kekal di negeri ini iaitu Guar Chempedak, Changlun, Sungai Petani, Kuala Kedah dan Kulim.
“Apabila ada lebih banyak ba­ngunan dibina untuk mewujudkan pasar tani kekal, peniaga akan mendapat kemudahan berniaga setiap hari.
“Usaha itu bukan sahaja membantu peniaga meningkatkan pendapatan mereka malah membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan segar pada harga yang lebih murah,” ujar beliau.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan