PAK-21 BERMULA SEPENUHNYA MAC INI


13pak
PADANG TERAP 13 Januari – Sebanyak 2,000 bilik darjah di sekolah seluruh negara akan mengaplikasikan konsep kelas pintar melalui program Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) sepenuhnya menjelang Mac ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan memperkasakan proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) dengan berpandukan teknologi terkini melibatkan peruntukan berjumlah RM190 juta.
Katanya, setakat ini, PAK-21 te­lah dilaksanakan di tiga buah sekolah iaitu Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Baru Enstek dan Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban di Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 lalu memberi peruntukan untuk fasa pertama pembinaan kelas pintar PAK-21 ini di 2,000 bilik darjah dengan peruntukan RM190 juta.
“Ia akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan (SK), sekolah mene­ngah kebangsaan(SMK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Baucar Peralatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad Kuala Nerang di sini hari ini.
Mahdzir berkata, peruntukan berkenaan adalah untuk menaik taraf bilik darjah di sekolah terbabit dengan papan mengajar pintar, kerusi serta meja canggih dan komputer riba.
Tambah beliau, sekolah-se­­ko­lah yang terpilih untuk melaksana­kan kelas pintar berkenaan dikenal pasti oleh Jabatan Pendidi­kan negeri (JPN) masing-masing.
“Ini adalah permulaan, kita akan bahagikan peruntukan itu kepada JPN untuk laksanakan kelas pintar ini.
“Pemilihan sekolah berkenaan bergantung kepada JPN yang akan mengenalpasti sekolah-sekolah berkenaan di bandar dan luar bandar,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata, PAK-21 merupakan transformasi dalam dunia pendidikan iaitu daripada PdP secara konvensional kepada PdP yang lebih dinamik dan kreatif sesuai de­ngan perkembangan semasa.
“Semua guru perlu bersedia untuk melaksanakan PdP abad ke-21 menggunakan teknologi terkini seiring dengan perubahan pesat dunia digital. Sebagai contoh, dulu guru menggunakan papan putih tetapi kini smart board (papan putih interaktif) ditambah dengan alat peranti,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan mampu mempercepatkan proses PdP dalam bilik darjah.
Sumber : Utusan