24,038 BAYI 2018 TERIMA MANFAAT


1bayi
ALOR SETAR 1 Januari - Seramai 24,038 bayi yang baru dilahirkan di negeri ini telah menerima manfaat daripada skim Insentif Kelahiran Anak (IKA) berjumlah RM100 seorang daripada kerajaan negeri Kedah sejak diperkenalkan pada 2015.
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata ia membabitkan peruntukan berjumlah RM2.4 juta.
"Anak yang baru diahirkan ini yang memenuhi syarat ditetap akan menerima baucar barangan bayi bernilai RM80 dan RM20 melalui pembukaan akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
"Tetapi, masih ramai ibu bapa yang tidak memohon mungkin kerana tidak tahu cara untuk membuat pemohonan. Mereka boleh mendapatkan borang pemohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau di mana-mana hospital kelahiran dalam tempoh enam bulan selepas kelahiran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Suraya mengadakan lawatan di Hospital Sultanah Bahiyah untuk menyampaikan skim IKA kepada lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki yang lahir bersempena Tahun Baharu 2018.
Sementara itu, Cristina Som Sumsak, 25, daripada Kuala Nerang berkata dia tidak menyangka anak keduanya akan lahir hari ini kerana bayinya dijangka lahir pada 31 Dis.
“Saya melahirkan bayi lelaki saya pada pukul 3.30 pagi tadi dan bersyukur kerana semuanya dalam keadaan selamat walaupun bayi saya dilahirkan lewat sehari daripada tarikh yang dijangka,” katanya.
Siti Najwa Zainon, 21, daripada Mergong berkata dia memang merancang untuk membuat simpanan kepada bayi sulungnya itu melalui SSPN-i untuk kegunaan pendidikan anaknya di masa hadapan.
“Saya sangat gembira kerana bayi perempuan saya selamat dilahirkan pada pukul 5 pagi tadi dan menjadi bayi Tahun Baharu kerana dia sepatutnya dijangka lahir pada minggu hadapan iaitu pada 8 Jan,” katanya.
Sumber : Sinar