SEMAI SEMANGAT KESUKARELAWAN


13semai
ALOR SETAR 13 Disember - Semangat kesukarelawan perlu dipupuk kerana boleh menjadi batu asas kepada warganegara prihatin, bertanggungjawab serta saling membantu tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit.
Pembabitan masyarakat terutama golongan muda dalam aktiviti kesukarelawan perlu diterap menerusi kerjasama pelbagai pihak sama ada individu, agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Terdapat pelbagai isu seperti bencana alam, pencemaran alam sekitar, pendidikan dan masalah sosial serta aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan tenaga dan sumbangan bakti sukarelawan.
Menyedari kepentingan usa­ha mengukuhkan semangat ke­sukarelawan dalam kalangan ma­syarakat, kerajaan negeri dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini turut mengumumkan penubuhan Briged Sukarelawan Muafakat Kedah di setiap kawasan Parlimen.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, penubuhan briged sukarelawan itu adalah usaha ke arah menye­marakkan lagi konsep kerja secara berpasukan atau team building, semangat kekitaan serta peluang memperoleh pengalaman kepe­mimpinan dalam organisasi.
“Penubuhan Briged Sukarelawan Muafakat Kedah di setiap kawasan Parlimen akan memain peranan dalam melaksanakan kerja amal serta program kemasyarakatan secara konsisten.
“Briged Sukarelawan Muafakat Kedah ini merupakan kegiatan kesukarelawan membabitkan ma­syarakat tanpa upah yang akan ditubuhkan mengikut acuan budaya Kedah. Briged kesukarelawan ini terbuka kepada masyarakat berbilang kaum bagi merapatkan interaksi sosial dan perpaduan,” katanya di sini baru-baru ini.
Ahmad Bashah berkata, Briged Sukarelawan Muafakat Kedah yang ditubuhkan itu nanti akan menambah baik model Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Daerah Sik yang dinaungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.
“Penubuhan BS1M Daerah Sik sejak lapan tahun lalu banyak memberi manfaat terhadap masyarakat khususnya golongan muda, maka saya berharap program sukarelawan ini dapat diperluaskan di seluruh negara.
“Sehubungan itu, kita akan menambah baik SOP (prosedur operasi standard) yang digunakan BS1M bagi disesuaikan penubuhan briged sukarelawan ini di setiap kawasan Parlimen.
“Diharapkan rakyat negeri ini daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama dapat menyertai briged sukarelawan yang akan ditubuhkan nanti,” katanya.
Beliau berharap briged sukare­lawan itu mempunyai sekurang-kurangnya 30 ahli yang aktif di setiap kawasan Parlimen.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan