RM20 JUTA UNTUK PASTIKAN BERSIH DAN INDAH


12rm
ALOR SETAR 12 Disember - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperuntukkan lebih RM20 juta setahun bagi menjaga kebersihan dan membaik pulih taman permainan di sekitar bandar raya ini yang mengalami kerosakan akibat vandalisme.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata jumlah peruntukan tinggi yang perlu dikeluarkan setiap tahun menjadi kekangan kepada MBAS kerana wang hasil kutipan cukai itu perlu digunakan untuk pembangunan lain di bandar raya ini.
"Sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk mengutip dan menyelenggara tapak pelupusan sampah manakala RM500,000 untuk membaiki taman permainan yang mengalami kerosakan akibat perbuatan masyarakat kita sendiri.
"Hasil bancian dijalankan, 20 taman permainan di sekitar bandar raya ini rosak antaranya akibat vandalisme. Tidak sampai seminggu dibaiki, ia rosak semula kerana sikap masyarakat kita yang kurang semangat kekitaan," katanya selepas Sesi Town Hall MBAS kali kedua di sini, hari ini.
Beliau berkata, tahap kesedaran masyarakat juga masih rendah berhubung isu menjaga kebersihan termasuk mengasingkan sampah untuk dikitar semula.
Mohd. Zohdi berkata, sekiranya peruntukan untuk membaiki taman permainan dan menjaga kebersihan dapat dikurangkan, MBAS dapat menggunakannya untuk mengindahkan bandar raya Alor Setar termasuk menaik taraf sistem perparitan, lampu jalan dan kemudahan lain.
"Kita (MBAS) ada beberapa perancangan untuk mengindahkan bandar raya ini antaranya membaik pulih bangunan lama serta mengecat bangunan manakala bagi bangunan persendirian, kita turut bercadang memberi rebat cukai kepada pemilik bangunan lama yang mahu mengecat semula bangunan mereka," katanya.
Beliau berkata, sikap individu atau masyarakat yang tidak menghargai dan tidak menjaga kemudahan disediakan menjadi antara penghalang bagi bandar raya Alor Setar untuk maju seperti digariskan dalam Draf Rancangan Tempatan 2035.
Sumber : Utusan