KUIN TAWAR PENGAJIAN ASASI PERCUMA


19kuin
SUNGAI PETANI 19 Disember – Kolej Universiti Insaniah (Kuin) melancarkan Skim Dermasiswa Negeri Kedah (SDNK) dalam usaha menarik lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyam­bung pengajian di peringkat persijilan asasi.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hamlan Din berkata, SDNK membolehkan pelajar yang mendaftar di Kuin menikmati pengecualian yuran pengajian dan pentadbiran.
“Skim ini merupakan antara inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Kuin sebagai pilihan utama kepada pelajar lepasan SPM untuk menyambung pengajian di sini.
“Pelajar yang menyambung pengajian asasi di sini boleh menikmati pengecualian yuran pengajian dan pentadbiran kerana kos terbabit akan ditanggung kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Pelancaran SDNK dan Anugerah Dekan di sini baru-baru ini.
Seramai 200 orang pelajar menyambung pengajian asasi mendapat SDNK manakala 27 orang siswa cemerlang yang mendapat Anugerah Dekan turut diberikan sijil penghargaan dalam majlis yang disempurnakan Pengarah Pusat Pengajian Asasi Kuin, Hadijah Johari itu.
Menurut Hamlan, statistik kemasukan pelajar untuk mengikuti program-program persijilan asasi di Kuin telah meningkat selepas SDNK diberikan promosi secara meluas.
“Kita berharap lebih ramai pelajar lepasan SPM akan menjadikan Kuin sebagai pilihan kerana SDNK ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung.
“Lebih istimewa, skim ini tidak terhad hanya kepada anak Kedah sahaja malah terbuka kepada sesiapa sahaja di seluruh negara (rakyat Malaysia) berpeluang mengikuti program pengajian asasi secara percuma ini,” ujarnya.
Sumber : Utusan