MANGSA BANJIR TERIMA SUMBANGAN


10mangsa
SUNGAI PETANI 10 Disember - Seramai 83 keluarga mangsa banjir dari beberapa kampung di Kuala Muda dekat sini menerima bantuan pelbagai kelengkapan dapur sempena majlis penyampaian Bantuan Pasca Bencana Banjir di Kampung Min Terk di sini, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dearah Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan itu bagi meringankan beban penduduk di kawasan tersebut.
“Banyak barangan penting dalam rumah penduduk rosak teruk dalam kejadian banjir berlaku di sekitar kampung berkenaan semasa anggota APM melakukan kerja-kerja menyelamatkan penduduk.
“Air masuk ke dalam rumah penduduk hingga ke paras dada semasa berlaku kejadian banjir pada 4 November lalu, seramai 332 mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat,” katanya.
Menurutnya, dapur gas sumbangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, WD 40 Penyembur Antikarat (Syarikat Bun Seng Hardware Sdn. Bhd) dan almari laci plastik lima tingkat (Pertubuhan Kesenian Kehidupan Utara).
Wakil Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdul Jalil Hashim ketika berucap dalam majlis itu berkata, langkah diambil oleh pihak-pihak berkenaan bagi menghulur bantuan seperti ini selepas kejadian banjir adalah baik sekali.
“Ini menunjukkan pihak-pihak berkenaan begitu prihatin de­ngan masalah yang dihadapi oleh setiap mangsa banjir,” katanya.
Seorang penduduk, Mohd. Fazli Mustafa, 30, berkata, sumbangan diberikan itu sudah tentu dapat meringankan bebanan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai Kampung Min Terk.
Menurutnya, selepas kejadian beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan Maj­lis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) tampil menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan kampung berkenaan.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan