USAH TERPEDAYA HASUTAN PERPECAHAN


1usah
ALOR SETAR 1 Disember – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, umat Islam perlu memperkukuhkan benteng kesatuan dan ikatan perpaduan sesama sendiri demi kemajuan agama, bangsa dan negara.
Baginda turut mengingatkan semua pihak agar tidak terpedaya dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang diibaratkan bagai api dalam sekam yang hanya menanti waktu dan ruang untuk menyalakan api perpecahan agar nilai kesatuan yang dipertahankan selama ini runtuh.
“Mafhum sebuah hadis menyatakan umpama sebuah bahtera, setiap individu harus melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan baik, bersefahaman, berintegriti dan bermuafakat. Sekiranya tiada nilai murni tersebut maka binasalah bahtera berkenaan karam menuju kehancuran ke dasar lautan. Itu nilai kesatuan yang kita perjuang selama ini.
“Itulah pentingnya nilai kesatuan yang kita perjuangkan selama ini, bagaikan bahtera yang melayari ke satu destinasi, dengan satu matlamat, de­ngan satu tujuan, mengharungi segala badai yang bertiup dan ombak yang menghempas,” titah baginda dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Kedah, Sulta­nah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta barisan Exco kerajaan negeri Kedah.
Dalam masjli bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ itu, baginda menyeru semua pihak agar bersatu di bawah satu lambang perpaduan, menyemai perasaan kasih dan sayang sesama insan serta menyuburkan benih muafakat atas dasar ukhuwah Islamiah.
“Kini kita berada pada satu zaman yang penuh dengan cabaran, sehingga jika tidak ditangani dengan sebaiknya, ia mampu meruntuhkan tembok keamanan yang dibina sejak sekian lama,” titah baginda.
Sumber : Utusan