MOHON BINA PUSAT JAGAAN HARIAN


13mohon
ALOR SETAR 13 November - Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk membina satu Pusat Jagaan Harian enam tingkat yang dianggarkan bernilai RM200 juta di tapak Hospital Sungai Petani lama.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Kedah, Datuk Leong Yong Kong berkata, langkah ini adalah antara usaha mengurangkan masalah kekurangan katil di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Beliau berkata, kertas kerja yang disediakan Jabatan Kesihatan Negeri itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
"Dengan ini sebahagian pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan minor, rawatan kemoterapi bagi pesakit kanser serta rawatan talasemia iaitu pemindahan darah," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr R Krishanmoorthy (PKR-Bukit Selambau) yang mahu tahu adakah terdapat cadangan untuk menaik taraf hospital tersebut ekoran kekurangan katil untuk menampung jumlah pesakit yang ramai.
Yong Kong berkata, terdapat juga cadangan untuk menambah satu wad baharu di Hospital Sungai Petani lama pada tahun hadapan dan satu wad lagi pada 2019 setelah kerja-kerja naik taraf dijalankan di bangunan sedia ada.
Beliau menjelaskan melalui projek Hospital Kluster yang bermula tahun ini membabitkan HSAH bersama Hospital Sik dan Yan, ia turut dilihat mampu mengurangkan masalah kesesakan tersebut apabila sebahagian besar pesakit dari Yan dan Sik tidak perlu lagi dimasukkan ke HSAH.
"Ini kerana pakar perubatan pelbagai bidang di HSAH akan melawat dan memberi perkhidmatan kepakaran serta menjalankan prosedur di Hospital Yan dan Sik
"Di samping itu, mutu penyampaian perkhidmatan di kedua-dua hospital daerah ini dapat ditingkatkan dengan latihan berterusan kepada pegawai perubatan dan kakitangan paramedik serta pertambahan alatan perubatan dan kelengkapan dewan bedah," katanya.
Sumber : Sinar