BINCANG PERKUKUH BAHASA MELAYU


12bincang
ALOR SETAR 12 November - Sebuah jawatankuasa Kabinet bakal diwujudkan tidak lama lagi bagi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan penggunaan serta pelaksanaan bahasa Melayu di negara ini termasuk dalam aspek perundangan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan menghantar kertas cadangan berhubung perkara itu kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.
“Beberapa kementerian akan turut serta dalam jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, antaranya Kementerian Pendidikan selaku urusetia dan Kementerian Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Menerusi jawatankuasa tersebut, Ahmad Zahid akan memberi arahan secara terus kepada kementerian untuk melakukan apa yang sepatutnya bagi memperkasa penggunaan bahasa Melayu termasuk perkara-perkara berkaitan papan tanda, nama tempat dan penggunaan bahasa Melayu dalam aplikasi tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi wacana bersama para pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Darul Aman dan Kampus Sultan Abdul Halim di Dewan Besar IPG Kampus Darul Aman di sini hari ini.
Tambahnya, antara perkara yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut ialah ke­perluan menggubal akta bagi mem­beri kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengambil tindakan.
“Selama ini DBP cuma bertindak sebagai tempat rujukan atau penasihat dalam aspek penggunaan bahasa Melayu semata-mata.
“Maka kita akan lihat kemungkinan mereka perlu diberi kuasa untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang dalam usaha memperkukuhkan bahasa Mela­yu. Semua aspek akan diambil kira,” katanya.
Sementara itu katanya, beliau sudah 'berpesan' kepada pihak terlibat di Kementerian Pendidikan supaya tidak memindahkan pensyarah-pensyarah yang sudah berusia dan berada di tempoh akhir perkhidmatan ke lokasi berjauhan sekiranya IPG mereka tersenarai dalam proses penyuraian.
“Kalau sudah berusia 56 atau 57 tahun, tak payahlah dihantar ke lokasi yang jauh-jauh dan cukuplah sekadar mereka ditempatkan di Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan daerah (PPD) berdekatan.
“Mereka yang sudah di hujung perkhidmatan ini biasanya memang mahu berpencen di tempat itu kerana ada kalanya di situlah kampung mereka. Tetapi kalau umur baru 44 tahun, kena pindahlah juga kerana tempoh khidmat masih panjang,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan