PEROLEHAN KEDAH 2017 CEMERLANG


13perolehan
ALOR SETAR 13 November - Perolehan pendapatan kerajaan negeri pada tahun ini berada pada landasan tepat dan cemerlang sehingga mampu untuk setidak-tidaknya menyamai pencapaian perolehan tahun lalu iaitu sebanyak RM601 juta atau 83 peratus daripada anggaran ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada peningkatan semasa kutipan hasil dalam sektor-sektor tertentu selain cara kerja efisien dilaksanakan para pentadbir, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.
“Sehingga semalam, pendapatan kerajaan ne­geri untuk tahun ini me­lebihi RM485 juta atau 66.1 peratus daripada anggaran RM734 juta yang ditetapkan untuk 2017.
“Untuk tahun ini, kita yakin mampu mencapai perolehan tinggi seperti tahun lalu. Menerusi pembayaran premium tanah oleh kerajaan Persekutuan yang kebiasaannya dibuat pada hujung tahun serta pelbagai kutipan sektor lain yang masih dilakukan, kita yakin akan mencatat pencapaian menggalakkan berbanding tahun-tahun sebe­lumnya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Azam Abd. Samat (Pas-Sungai Limau) mengenai pendapatan keseluruhan kerajaan negeri untuk 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Untuk rekod, ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar, pendapatan kerajaan negeri pada 2015 menyusut kepada RM411 juta berban­ding RM506 juta pada tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut katanya, pendapatan kerajaan negeri untuk tahun ini kebanyakannya disumbangkan oleh lima sektor utama dengan yang tertinggi adalah cukai tanah berulang yang mencatat perolehan lebih RM177 juta diikuti pemberian kerajaan Persekutuan sebanyak RM158 juta.
“Tiga lagi sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri adalah premium tanah sebanyak RM53 juta, premium hutan RM44 juta serta tunggakan cukai tanah berjumlah RM21 juta.
“Kelima-lima sektor ini menyumbang lebih RM454 juta atau 93.6 peratus daripada jumlah perolehan hasil kerajaan negeri untuk tahun ini sehingga semalam,” katanya.
Mengenai perbelanjaan dilakukan pula, Ku Abdul Rahman berkata, sebanyak RM131.4 juta dibelanjakan untuk emolumen sementara RM122.66 juta dibelanjakan bagi sektor perkhidmatan dan bekalan.
“Perbelanjaan paling tinggi dibuat dalam sektor pemberian dan kenaan bayaran tetap iaitu RM159.49 juta. Selebihnya RM80.36 juta melibatkan aset manakala RM15.38 juta adalah untuk lain-lain perbelanjaan.
Menjawab soalan tambahan Mohd. Azam mengenai corak perbelanjaan kerajaan negeri, beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya mengamalkan per­belanjaan berhemah dengan jumlah defisit semasa hanyalah berjumlah RM30 juta berbanding anggaran dimasukkan dalam Bajet 2017 iaitu sebanyak RM75 juta.
“Saya yakin, dalam tempoh sebulan setengah ini menuju ke akhir tahun, tidak mungkin kita akan berbelanja terlalu banyak sehingga menyebabkan defisit bertambah ke tahap itu,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan