CUNGKIL BAKAT MUDA BOLA SEPAK


8cungkil
ALOR SETAR 8 November - Bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia kerana diminati segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
Istimewanya sukan ini berjaya menghimpunkan keluarga dan rakan taulan untuk berhibur serta bersantai di rumah atau restoran sambil bersorak memberi sokong­an kepada pasukan diminati.
Situasi sama turut berlaku di Kedah yang mana ribuan peminat Lang Merah sanggup datang ke stadium semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.
Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri bekerjasama dengan Persa­tuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencari bakat muda dalam usaha mengembalikan ke­gemilangan bola sepak di negeri ini.
Pada tahun lalu, kerajaan negeri menganjurkan semula Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) selepas terhenti selama 13 tahun bagi mencungkil bakat muda di negeri ini untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2018.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya turut mengambil inisia­tif menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017 yang bakal bermula 17 November ini.
Menurutnya, penganjuran kejohanan itu bertujuan mengembalikan kecemerlangan mutu sukan bola sepak di negeri ini me­lalui program pembangunan bersiste­matik, membabitkan penglibatan re­maja yang berpotensi dalam bidang tersebut.
“Selain mencari bakat muda untuk mewakili negeri ke Sukma yang bakal berlangsung di Perak pada September tahun depan, pe­nganjuran kejohanan ini juga pen­ting untuk kita menyediakan pemain pelapis bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.
“Ini membolehkan kita melak­sanakan satu sistem pembangunan bola sepak secara komprehensif untuk mencapai keupayaan yang lebih tinggi,” katanya selepas majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kedah Darul Aman 2017 di sini semalam.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Datuk Aminuddin Omar dan Pengarah MSN Kedah, Mohamad Rizal Mohamad Radzi.
Ahmad Bashah yang juga Pre­siden KFA memberitahu, penganjuran kejohanan ini memboleh­kan pemain-pemain muda yang berusia bawah 20 tahun tampil mengetengahkan bakat bola sepak yang dimiliki.
“Beberapa ahli panel yang pakar da­lam sukan bola sepak ini akan menilai sepanjang kejohanan yang diadakan secara liga, membabitkan 12 daerah. Kita akan memilih pemain yang berpotensi dan terbaik untuk mewakili Kedah dalam Sukma 2018.
“Ini juga membolehkan pemain-pemain daerah ini untuk bertanding di peringkat negeri, negara dan antarabangsa,” ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan