BUKIT KAYU HITAM BERUBAH WAJAH


3bukit
ALOR SETAR 3 November – Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu yang selama ini lengang dan sunyi diya­kini akan berubah wajah menerusi beberapa perancangan dan pembangunan hasil kerjasama kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu yang kini sudah memulakan operasi selain perancangan membina bandar bebas cukai yang lengkap bakal membawa suasana baharu kepada penduduk di situ.
“Selepas pembinaan kompleks berkenaan, saya jamin kawasan Bukit Kayu Hitam yang selama ini agak lengang akan berubah menjadi Langkawi kedua.
“Mungkin pelepasan cukai­nya tidaklah sehebat Langkawi tetapi saya yakin bandar bebas cukai tersebut bakal menjanjikan sesuatu yang menarik buat pengunjung asing dan tempatan,” katanya selepas merasmikan Seminar Transformasi Ekonomi Negara bertemakan Peluang Keusahawanan Wanita Komuniti Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Pumpong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cukup mengambil berat mengenai pembangunan kawasan itu selari dengan hasratnya untuk melihat Bukit Kayu Hitam menjadi hub logistik serantau.
“Mengikut perancangan beliau mungkin akan datang lagi ke Kedah pada awal tahun depan bagi memantau sendiri pembangunan sedia ada selain mendalami perancangan bandar bebas cukai tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, jumlah bonus yang akan diberikan kepada pemain dan pegawai pasukan sekiranya mereka berjaya mempertahankan Piala Malaysia akan diumumkan olehnya esok.
“Esok saya akan jumpa pemain di Shah Alam dan pada masa sama saya akan umumkan bonus yang diterima mereka sekiranya menang dengan JDT. Apa-apa saja berkaitan dengan bola sepak, kita umumkan esok,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan