IMPORT, EKSPORT DIJANGKA MENINGKAT


3import
KUBANG PASU 3 November – Aktiviti import dan eksport produk pertanian, haiwan dan perikanan dijangka meningkat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan keselamatan (ICQS) yang baharu di Bukit Kayu Hitam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, fasiliti lebih lengkap dan selesa membolehkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengendalikan lebih banyak pemeriksaan import dan eksport berbanding di Kompleks ICQS yang lama.
“Jumlah kenderaan berat yang membawa barangan me­lalui pemeriksaan agensi ber­kenaan dianggarkan meningkat 50 peratus di kompleks itu.
“Prosedur yang digunakan adalah sama seperti di kompleks yang lama cuma di kompleks baharu ini lebih selesa dan bilangan import dan eksport akan bertambah dari semasa ke semasa apabila pintu sempadan dibuka 24 jam bermula 2019,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
MAQIS adalah agensi di bawah MOA yang berfungsi mewujudkan perkhidmatan bersepadu berkaitan de­ngan kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin dan pemerakuan bagi import dan eksport tumbuhan, haiwan, ikan dan keluaran pertanian.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, jumlah eksport bagi produk pertanian, haiwan dan produk haiwan, ikan serta produk ikan di semua pintu masuk di negeri Kedah yang dipantau MAQIS pada tahun 2016 ialah sebanyak 43,739 metrik tan, manakala import berjumlah 348,024 metrik tan.
“Selain itu, jumlah import untuk tempoh Januari sehingga Jun 2017 bagi barangan dan produk pertanian, haiwan dan produk haiwan, ikan serta produk ikan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam adalah sebanyak 60,863 metrik tan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM512,470,289,” katanya.
Sumber : Utusan