RAWI SASAR 2022 TUAI EMAS


1rawi
AYER HITAM 1 November - Persatuan Angkat Berat Kedah Darul Aman mensasarkan 2022 sebagai tahun untuk menuai emas dalam sukan angkat berat bagi kontinjen negeri itu pada Sukan Malaysia (Sukma).
Bagaimanapun usaha ke arah tersebut itu sudahpun berjalan lancar dan mereka tidak menolak berkemungkinan untuk cuba memberi saingan dan pendedahan kepada atlet baru di Sukma 2018 di Perak dan Sukma 2020 di Johor.
Menurut Presidennya, Dato Mohd Rawi Abd Hamid, kini pihaknya sudah mempunyai empat pusat latihan rasmi angkat berat termasuk yang baru dilancarkan di SMK Ayer Hitam , dekat sini semalam.
SMK Ayer Hitam akan menjadi pusat mengcungkil bakat baru di peringkat akar umbi membabitkan seluruh daerah Kubang Pasu.
"Program ini kita namakan Projek Emas 2022 di mana sasaran untuk raih banyak emas menerusi sukan angkat berat pada kejohanan Sukma nanti pada tahun tersebut.
jika berjaya melatih atlet kita buat masa sekarang (kami akan cuba) dengan mencapai sasaran awal di Sukma Perak dan Johor dalam tempoh lebih kurang dua atau tiga tahun ini," katanya.
Sebelum ini Kedah sudah mempunyai tiga pusat latihan rasmi iaitu Sekolah Sukan Negeri Kedah, SMK Tunku Anum di Jitra, SMK Alor Janggus di Alor Setar dan SMK Seri Pantai di Kuala Kedah
Mohd Rawi berkata, kehadiran jaguh bekas angkat berat negara, Hidayat Hamidon yang turut hadir ke program tersebut mampu memberi inspirasi kepada bakat-bakat baru angkat berat di negeri ini.
Menurutnya, perkongsian pengalaman seperti kejayaan sehingga meraih emas di pentas Komanwel juga dapat digunakan oleh jurulatih negeri ini termasuk pengiat sukan tersebut bagi merealisasikan sasaran Projek Emas 2022.
"Saya yakin dengan kehadiran Hidayat, sokongan sekolah dan persatuan, Inshaallah kita akan berjaya mengangkat kembali martabat sukan angkat berat Kedah dan akhirnya akan lahir banyak jaguh sukan angkat berat yang akan mengharumkan negeri ini dan Malaysia pada suatu hari nanti," katanya.
Pada program tersebut, Kelab Sukan Angkat Berat SMK Ayer Hitam turut menerima sumbangan sebanyak RM5,000 yang disampaikan oleh Pengarah Pemasaran Hydrogel, Nazirawati Othman.
Hadir sama Ketua Unit Pembangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Amirul Nizam Mahadzir.
Oleh : Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor
Sumber : Sinar