CACAT PENGLIHATAN BUKAN PENGHALANG


30CACAT
PENDANG 30 Oktober - Seorang kanak-kanak cacat penglihatan sejak lahir mampu menghafal beberapa surah di dalam al-Quran sehingga dianugerahkan Anugerah Tunas Jaya Gemilang Kategori OKU Terbuka sempena sambutan Hari Kanak-Kanak di Pendang, baru-baru ini.
Muhammad Afiq Haikal Norazizi, 10, berkata, dia mula mempelajari al-Quran ketika usianya empat tahun dengan bantuan ibunya.
"Walaupun saya dilahirkan dalam keadaan tak boleh melihat tapi saya nak diri saya dekat dengan al-Quran," katanya.
Katanya, dia mula mempelajari ayat suci al-Quran melalui cakera padat (CD) yang dibeli oleh ibunya.
Ibunya, Nor Nadia Mohamad Ghazali, 37, yang juga merupakan ibu tunggal berkata, dia akan berusaha sehabis baik bagi memberikan didikan buat anak tunggalnya itu.
"Sejak kecil saya ajar dia dengar ayat suci Al Quran, bermula dari situ dia boleh menghafal surah demi surah," katanya.
Menurut Nor Nadia dia dapat melihat keseronokan anaknya itu apabila diberi pendedahan sebegitu.
"Bila dia dapat hafal satu-satu surah saya dapat tengok dia sangat gembira. Selain itu, dia juga gemar mendengar ceramah agama di televisyen.
"Kalau ada rancangan agama dia tidak akan berganjak dari depan televisyen," katanya.
"Satu perkara yang membuatkan saya sendiri nak ketawa ialah keupayaannya untuk mengajuk gaya cakap penceramah iaitu Ustaz Kazim.
"Malah, saya sendiri terkejut anak saya boleh tahu jadual waktu program keagamaan diminatinya sekalipun tak boleh melihat," katanya.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar