TAMBAH BAIK PRASARANA OKU


1TAMBAH
SUNGAI PETANI 1 November - Kerajaan negeri menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil inisiatif mempertingkatkan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) memandangkan ia dilihat masih di tahap yang lemah.
Exco Kebajikan, Datuk Suraya Yaacob berkata, kemudahan mesra OKU dilihat kurang di mana hanya tempat letak kereta dan tandas sahaja yang lazim disediakan berbanding prasarana lain yang lebih meluas.
“Kumpulan OKU banyak dan kita kena tengok keperluan mereka, siapa yang perlu didahulukan, ada yang bermasalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan OKU peringkat negeri Kedah 2017 di Rumah Seri Kenangan, Bedong.
Menurutnya, setakat ini belum ada lagi penguatkuasaan di peringkat PBT namun pihaknya menggalakkan pihak bertanggungjawab bersedia untuk mempertingkatkan kemudahan berkenaan.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan juga telah memberi tumpuan serius terhadap aksesibiliti dan prasarana OKU.
“Akses itu bukan simpati atau kelonggaran tetapi adalah keperluan bagi OKU mengadaptasi dengan keadaan persekitaran agar boleh melakukan pelbagai perkara tanpa banyak halangan,” katanya.
Selain OKU yang diberi perhatian, sam-butan bertemakan 'Memperkukuhkan Inklusiviti Ke Arah Masyarakat Sejahtera' sempena Bulan Kebajikan Negara itu, mengangkat martabat warga emas yang dianggap bernilai dan berharga kepada negara.
“Memandangkan isu pengabaian warga emas semakin ketara sejak kebelakangan ini, maka masyarakat harus dibawa kembali menghayati dan menghargai warga emas.
“Janganlah kita pandang warga emas seperti kain buruk di sudut rumah sebaliknya perlu menggalakkan supaya mereka hidup aktif dan produktif," katanya.
Menurutnya, meskipun suasana dan persekitaran sudah berubah, tiada lagi kehidupan bersama ibu bapa disebabkan pelbagai faktor seperti tuntutan kerjaya, lokasi dan sebagainya, namun, ini tidak bererti warga emas harus dibiarkan.
"Disebabkan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) yang merupakan pusat jagaan harian warga emas bagi memberi peluang golongan itu mengharungi penuaan aktif dengan pelbagai aktiviti disediakan.
"Setakat ini, empat Pawe disediakan di Kedah termasuk di Bandar Baru, Kulim, Sungai Petani dan yang terbaru di Pendang yang sedang dalam proses pewujudan," katanya.
Oleh : Siti Zubaidah Zakaraya
Sumber : Sinar