MANFAAT 57,000 PESAWAH MADA


28manfaat
JERLUN 28 Oktober - Bantuan pesawah sebanyak RM200 sebulan akan memanfaatkan sebanyak 57,000 pesawah yang layak di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini dan Perlis.
Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, bantuan tersebut akan diberikan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian padi bermula Januari depan.
Menurutnya, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban pesawah untuk menyara keluarga dalam tempoh tersebut.
“MADA akan mempunyai mekanisme dalam mengenalpasti pesawah yang berkelayakan sahaja menerima bantuan tersebut.
“Antara mekanisme itu adalah pesawah terbabit perlu berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), mempunyai buku subsidi baja dan benih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program 1Komuniti 1JPJ (SKSJ) Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam dekat sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada pesawah yang mengusahakan tanaman padi di luar kawasan MADA.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan