TAMBAHAN BUAT PENYIMPAN AKAUN SSPN


29tambahan
BALING 29 Oktober - Golongan pelajar yang sudah memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di daerah ini bakal mendapat tambahan geran sebanyak RM50 dalam akaun tersebut mulai 2018 nanti.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Rahim Azeez Abdul Rahim berkata, imbuhan yang juga inisiatif daripada pihaknya itu adalah jaminan jangka panjang kewangan pendidikan pelajar dan memastikan mereka meneruskan amalan menabung sepanjang hayat mereka.
“Wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun mereka apabila sesi persekolahan bermula tahun depan dan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM100 yang mana RM50 memang sedia ada dalam akaun tersebut.
“Sebagai pulangan, semua pelajar terlibat perlu berjanji untuk menjadi pelajar cemerlang pada semua peringkat termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Penyampaian Sumbangan Zakat Pakaian Seragam Sekolah Peringkat Parlimen Baling di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling/Sik Amirulddin Abd Hamid berkata pihaknya akan menggunakan pelbagai kaedah bagi menangani masalah ponteng yang berlaku di daerah itu antaranya mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa pelajar berkenaan.
“Kita sudah melakukan yang terbaik termasuklah mengadakan bas sekolah percuma yang disumbangkan pejabat parlimen sini kerana mahu pelajar hadir ke sekolah.
“Jadi, bila gejala ponteng masih berlaku dan jumlahnya agak membimbangkan, saya kira PPD perlu tampil dengan pendekatan yang lebih proaktif. Kita harap melalui perjumpaan dengan waris, kita akan mengetahui lebih mendalam masalah yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 3,360 bantuan pakaian seragam sekolah daripada Parlimen Baling telah diagihkan secara berperingkat mengikut dewan undangan negeri dan proses pengagihan masih berbaki 1,460.
Sumber : Sinar