MADA PANTAU PARAS AIR SUNGAI


11mada
ALOR SETAR 11 Oktober - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) giat memantau paras air bagi sungai-sungai utama ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi sehingga beberapa daerah di negeri ini dan Perlis terjejas kerana banjir.
Dalam satu kenyataan MADA di sini hari ini menjelaskan, sehingga pukul 11 pagi tadi, paras bagi kesemua sungai-sungai utama berada di paras normal di mana Sungai Padang Terap berada di paras 14.01 meter, Sungai Kedah – Ampang Jajar (0.82 meter), Sungai Anak Bukit di Jambatan Tunku Abdul Rahman (1.29 meter), Sungai Pendang (0.91 meter) dan Sungai Arau (6.07 meter).
“Hujan yang sangat lebat pagi di Kubang Pasu dan Kota Setar menyebabkan banjir kilat di beberapa tempat.
“Hujan tertinggi direkodkan di Alor Biak 172mm, Telaga Batu (155mm), Kuala Sungai (152mm), Jitra (142mm) dan Kepala Batas (130mm). Pihak MADA giat mengalirkan lebihan air ke laut melalui semua pintu kawalan pasang surut termasuk Tandop Ampang Jajar,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pelepasan air berlebihan juga dibuat melalui Sungai Kedah, Terusan Alor Changileh, Lanabulu dan Arau serta pintu-pintu tandop struktur kawalan pasang surut dibuka sepenuhnya.
“Paras di Ampang Jajar adalah 0.82 meter iaitu paras yang rendah yang membolehkan air mengalir dengan senang kecuali ada halangan sebelum turun ke sungai.
“Pintu di Ampang Jajar dijangka ditutup sebentar kerana air akan pasang tetapi tidak akan menjejaskan kawasan di hulu.
“Kedudukan takungan bagi ketiga-tiga empangan di bawah seliaan MADA masih berada dalam keadaan selesa di mana Empangan Pedu 86.87% dan Empangan Ahning 75.73% kecuali Empangan Muda 103.6% yang mula melepasi paras alur limpah,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun limpahan ini merupakan situasi normal serta terkawal dan lebihan air tersebut di alirkan ke kawasan Kedah Selatan.
Sumber : Utusan