PESAKIT SLE LEGA DIBANTU LZNK


10pesakit
BALING 10 Oktober - Penantian seorang ibu tunggal yang mengidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) mendapatkan mesin oksigen sejak 2014 terlerai selepas dia dibantu Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) cawangan Baling, hari ini.
Pesakit, Umi Kalsom Endut,31, dari Kampung Masjid Sera berkata, dia diserang SLE pada 2012 bermula dengan serangan sendi.
"Sebelum disahkan diserang SLE, tangan saya bila bangun pagi tak boleh genggam. Lama kelamaan saya tak boleh bergerak.Tapi sekarang alhamdulillah dah mampu berjalan semula.
"Sekarang ni SLE serang bahagian paru-paru pula. Nak bernafas pun susah dan cepat letih. Tahun 2014, doktor minta saya beli mesin oksigen tapi tak mampu, " katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Menurutnya, sumbangan mesin oksigen daripada LZNK seoalah-olah memberikan suntikan semangat baru dalam hidupnya.
"Terima kasih LZNK, sebab membantu meringankan beban . Dari 2015, LZNK dah bantu dengan bantuan RM 450 sebulan," katanya.
Sementara itu, Pengurus LZNK cawangan Baling, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin berkata, sumbangan mesin bernilai RM 4,900 itu diharap dapat meningkatkan tahap kesihatan pesakit.
Sumber : Sinar