KERJASAMA TANGANI GEJALA DADAH


19KERJASAMA
SUNGAI PETANI 19 Oktober – Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di negeri ini diminta bekerjasama menangani masalah penagihan dadah melibatkan golongan remaja di kawasan masing-masing.
Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Abdul Rahman Hamid berkata, beliau percaya bahawa jika perkara itu diberi perhatian serius, jumlah penagih dadah di negeri ini akan berkurangan pada tahun hadapan.
“Saya minta semua ahli JKKK di negeri ini supaya membuat pemantauan untuk membanteras gejala penagihan dadah di kawasan masing-masing.
“Di samping itu, semua peng­hulu dan imam masjid juga perlu melakukan perkara yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian da­lam majlis penutup Seminar Pemerkasaaan Komuniti Pemim­pin Masyarakat Peringkat AADK Negeri 2017 di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim Jalan Kuala Ketil di sini, baru-baru ini.
Seramai 100 peserta terdiri daripada pemimpin JKKK, JPP, imam masjid, skuad AADK dan kakitangan AADK dari 12 daerah seluruh negeri menyertai seminar tersebut.
Abdul Rahman berkata, sejak tahun 1988 hingga sekarang, bilangan penagih dadah yang didaftarkan oleh AADK mencecah 380,000 orang di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah AADK negeri Kedah, Mahadzir Elias pula berkata, jika tindakan serius dilakukan dengan cepat, bilangan penagih dadah boleh diturunkan ke tahap lebih baik berbanding sekarang ia masih lagi berada pada tahap tertinggi berbanding ne­geri-negeri lain.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan