500 HADIR MAJLIS TAHLIL


19500
ALOR SETAR 19 Oktober - Kira-kira 500 orang termasuk pembesar serta rakyat jelata hadir dalam majlis tahlil sempena kemangkatan Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang memasuki hari ke-40 hari ini, di Istana Anak Bukit di sini malam ini.
Sultan dan Sultanah Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berangkat bersama kerabat diraja yang lain termasuk Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.
Turut berangkat Tuanku Hajah Haminah.
Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian; beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Majlis bermula dengan solat maghrib berjemaah yang diimamkan Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim sebelum disusuli majlis bacaan yasin dan doa serta solat isyak.
Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang 11 September lalu pada usia 89 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar.
Almarhum memerintah Kedah selama 59 tahun dan seorang raja yang sangat disayangi rakyat kerana sifatnya yang lemah lembut serta berjiwa rakyat.
Almarhum juga mencatat sejarah apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selama dua kali.
Pelantikan pertama ialah pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun hingga 20 September 1975. Tiga puluh enam tahun kemudian, Almarhum baginda dilantik pula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.
Sumber : Utusan