RAKYAT TIDAK PUTUS ZIARAH


13RAKYAT
ALOR SETAR 13 September – Kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dirasai rakyat jelata khususnya dari negeri ini yang tidak putus-putus menziarahi makam baginda se­awal pukul 7.30 pagi di Makam Diraja Langgar di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati orang ramai termasuk orang kenamaan dan kerabat diraja mengambil kesempatan untuk berdoa dan membaca surah Yasin di makam Almarhum.
Bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, beliau menziarahi makam Almarhum bersama lima pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Ar-Riyaadah bagi menitipkan mendoakan buat baginda.
“Kami membaca al-Quran dan membuat tahlil untuk Almarhum Tuanku Abdul Halim. Saya bukan sahaja mengasihi Almarhum sebagai seorang sultan malah menganggap baginda seperti seorang ayah.
“Saya masih ingat lagi, sepanjang lapan tahun perkhidmatan saya sebagai Mufti Kedah, Almarhum tidak berhenti berpesan kepada saya supaya menjaga agama di negeri ini dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Syeikh Muhamad Baderudin berkata, beliau dijadualkan menghadap Almarhum pada Isnin lalu, namun sebaliknya menerima perkhabaran duka pada kira-kira pukul 2.30 petang tersebut.
“Sepatutnya, saya menghadap baginda pada pukul 5 petang Isnin lalu, namun kehendak Allah mengatasi daripada kehendak kita,” katanya.
Sementara itu, Bilal Masjid Nurul Ehsan, Yusup Ahmad, 65, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang menziarahi makam Almarhum Tuanku Abdul Halim selepas tidak dapat menyaksikan permakaman baginda pada petang semalam.
“Almarhum sudah 59 tahun memerintah Kedah, jadi kemang­katan baginda adalah berita yang paling sedih buat rakyat di negeri ini. Semalam saya tidak dapat menyaksikan permakaman Almarhum kerana terlalu ramai orang, jadi hari ini saya tidak mahu melepaskan peluang menziarahi makam baginda.
“Saya sentiasa mendoakan agar Almarhum yang berjiwa rakyat ini ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam nada sebak.
Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Farihana Suib, 38, berkata, kunjungannya ke makam tersebut adalah untuk sedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran buat Almarhum Tuanku Abdul Halim.
“Saya sering mengikuti program keagamaan yang dihadiri Almarhum seperti sambutan Maulidur Rasul. Saya melihat Almarhum adalah seorang sultan yang sopan ketika berbicara walaupun dengan rakyat biasa,” katanya.
Sumber : Utusan