PETANI TERIMA BENIH PADI MR297


18petani
SUNGAI PETANI 18 September – Penggunaan benih padi bermutu tinggi digalakkan dalam kalang­an petani di negeri ini untuk meningkatkan pendapatan keluarga selain membantu ekonomi golongan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Deraka, Md. Rashid Bakar berkata, sehubungan dengan itu, seramai 22 petani di daerah ini menerima benih padi MR297.
“Inilah kali pertama petani di luar kawasan MADA memperoleh benih padi tersebut dan tiap-tiap seorang menerima 20 kilogram.
“Ada petani di kawasan MADA berjaya mendapat hampir satu tan bagi setiap satu hektar hasil tanaman padi MR297 itu.
“Saya yakin petani di kawasan Sungai Deraka juga bakal mendapat hasil lumayan setelah benih padi MR297 dikeluarkan hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Benih Padi Akibat Penyakit Perang dan Karah Daun berlangsung di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Nor Hafizah Abdul Rahman; Pengurus Lembaga Pertanian Muda (MADA) Wilayah 4 Kota Sarang Semut, Zainuddin Mat Zakaria dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani, Muhammad Effendi Mashum.
Sementara itu, Muhammad Effendi berkata, pemberian benih padi MR297 kepada petani menunjukkan agensi pertanian di negeri ini begitu prihatin de­ngan masa depan penanam padi di Kampung Sungai Deraka di sini.
Seorang petani, Mohd. Hidzir Ibrahim, 50, berkata, sebelum ini, petani di kawasan tersebut menanam pelbagai jenis padi dan pada tahun lepas padi MR220.
“Saya begitu gembira sekali kerana mendapat benih padi MR297 seberat 20 kilogram dan bila dijual dalam pasaran harganya RM48 seguni.
“Jika ingin memperoleh hasil yang lebih, kita perlu menjaga dengan sebaik-baiknya selepas menanam padi dalam sawah. Padi baharu ini, saya akan tanam dalam sawah mulai awal bulan Oktober nanti,” katanya.
Petani, Abdul Hamid Bakar, 67, pula berkata, banyak perkara baharu perlu dipelajari setiap petani sekiranya ingin mendapat hasil lumayan setelah menanam padi baharu jenama MR297 itu.
Sumber : Utusan