RM34J BANTU SAHABAT AIM DI BALING



25rm
BALING 25 Julai - Sebanyak RM34 juta diperuntukkan untuk membantu usahawan baharu dan peniaga kecil di daerah ini sepanjang tahun ini berbanding RM32 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada tahun lepas.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, AIM memainkan peranan besar, bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan mikro kredit, malah menyediakan bimbingan amalan terbaik perniagaan serta dorongan kepada mereka yang memerlukan.
“Hasrat kerajaan dalam usaha melaksanakan transformasi adalah untuk memastikan rakyatnya sama ada di bandar ataupun luar bandar sama-sama menikmati kua­liti hidup yang lebih tinggi dan selesa.
“Matlamatnya adalah memastikan kekayaan dan kemakmuran negara dinikmati bersama dan tidak terdapat suatu kelompok pun yang dipinggirkan dari arus perdana pembangunan negara,” katanya dalam majlis Himpunan Usahawan Bersama Penaung dan Ulang Tahun Kelab Sahabat AIM di Kompleks Belia dan Sukan, Batu 42, Pulai di sini semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Dr. Zubir Harun; Penyelaras Dewan Undangan Ne­geri (DUN), Datuk Mohd. Khairul Azhar Abdullah dan Pengurus AIM Cawangan, Halimaton Yaakob.
Hampir 4,000 Sahabat AIM berhimpun dalam majlis tersebut sempena meraikan pertemuan sahabat AIM daerah ini dengan kakitangan AIM serta meraikan Hari Raya Aidilfitri yang di penghujung­nya.
Abdul Azeez berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan semua rakyatnya tanpa mengira kaum.
Menurutnya, AIM juga sentiasa berusaha memberi pinjaman dan peruntukan kepada rakyat yang berkelayakan untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Jika dahulu, hampir separuh rakyat di negara ini hidup dalam suasana kedaifan dan kemiskinan, kini dalam tempoh hanya dua gene­rasi, kadar kemiskinan negara hampir dapat dihapuskan,” katanya.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan