BUKAN 'GULA-GULA' PILIHAN RAYA



24bukan
PENDANG 24 Julai - Pembinaan hospital baharu di Pendang tetap akan dilaksanakan kerajaan seperti yang dijanjikan sebelum ini dan bukannya ia bukannya sekadar ‘gula-gula’ pilihan raya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan sering menerima tuduhan seperti ini, namun rakyat perlu faham untuk membina sebuah hospital memerlukan penelitian dari segi kos dan peruntukan serta pelbagai sudut lain.
“Namun kerajaan tidak akan menoleh ke belakang dan akan memastikan hospital ini akan terbina dan tender akan dikeluarkan pada September ini kerana telah mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Hari Raya Muafakat Dun Sungai Tiang, di Pusat Khidmat Dun itu di sini, hari ini.
Untuk rekod, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hospital Pendang antara enam hospital baharu yang akan dibina selain di Kemaman, Bentong, Pasir Gudang, Maran dan Baling.
Hospital yang dijangka menelan kos RM220 juta itu akan dilengkapi 250 katil dengan 11 kepakaran antaranya pediatrik, ortopedik, kecemasan dan trauma, patologi serta radiologi, dijangka akan dibina di Kampung Banggol Pauh, di sini.
Sumber : Sinar