MALAYSIA BANTAH REJIM ZIONIS



23malaysia
KUBANG PASU 23 Julai - Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) meluluskan usul menentang tindakan rejim Zionis yang menutup serta menghalang rakyat Palestin untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa.
Presidennya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengembalikan hak umat Islam di bumi Palestin.
“Dalam persidangan agung perwakilan tahunan ini, kita telah meluluskan usul mmbantah tindakan rejim Israel yang menghalang masyarakat Islam untuk bersembahyang di dalam Masjid Al-Aqsa.
“Ini merupakan rumah ibadat untuk umat Islam dan tidak sepatutnya rejim Zionis menghalang dan menutup masjid tersebut sedangkan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) mengiktiraf Masjid Al-Aqsa sebagai tapak warisan dunia Islam.
“Oleh itu, kita mendesak Israel membuka semula (Masjid Al-Aqsa) dan membenarkan umat Islam beribadat tanpa had,” katanya selepas Majlis Penutupan Persidangan Agung Perwakilan Tahunan Kali Kelima Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ali, pihaknya akan menghantar surat bantahan secara berterusan kepada PBB dan Amerika Syarikat yang disifatkan mempunyai agenda tersembunyi untuk merampas Baitulmaqdis daripada tangan umat Islam.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan