PROJEK KIFT TIDAK TERGENDALA



23projek
ALOR SETAR 23 Julai - Exco Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail membidas kenyataan pembangkang yang menyifatkan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang dibangunkan di Tebengau, Kuala Kedah tidak memberi impak besar kepada penduduk sekitar.
Katanya, KIFT bukannya berkubur sebaliknya proses awalan kerja dilakukan secara terperinci berikutan projek mega itu melibatkan pelaburan luar yang tinggi.
“KIFT sepatutnya sudah boleh dimulakan kerja-kerja awalan. Bagaimanapun, terdapat sedikit masalah teknikal di pihak syarikat pelabur dari China, Lu Hai Feng. Masih ada beberapa syarat tertentu yang perlu mereka tunaikan sebelum dibenarkan memulakan projek,” katanya.
Menurutnya, sebaik sahaja syarat berkenaan dapat diselesaikan, kerja-kerja awalan seperti menyediakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) akan diteruskan.
“Projek usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) ini bukannya tergendala. Bagi pihak kerajaan negeri, kita sudah lakukan segalanya termasuk mendapatkan kelulusan Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya.
Ku Abd Rahman berkata, syarikat Lu Hai Feng tidak menyatakan tempoh masa diperlukan, namun akan segera menyelesaikan isu berkaitan teknikal terbabit.
“Kita lakukan secara berperingkat, kita dah beri kelulusan secara prinsip termasuk syarat-syaratnya. Bergantung kepada mereka untuk penuhi syarat, namun ia bukanlah masalah besar kerana syarikat itu berjaya membangunkan projek sama di Qingdao,” katanya.
Sebelum ini, Pas Kedah mempersoal kewajaran pembangunan projek itu yang dikatakan projek di luar kotak atau realiti berikutan menelan belanja lebih RM3 bilion.
Projek KIFT diumumkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 2 November 2015, dengan pelaburan berjumlah RM3 bilion dari Qingdao, China.
Sumber : Sinar