ADUAN PENGGUNA TURUN 80 PERATUS



16aduan
ALOR SETAR 16 Julai - Hasil komitmen tinggi petugas Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini memberikan impak positif apabila kadar aduan pengguna berjaya diturunkan melebihi 80 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin berkata, respons dan tindakan kepada aduan itu turut ditingkatkan melebihi 97 peratus serta sembilan langkah praktikal untuk keperluan musim perayaan dapat digerakkan pihaknya dengan berkesan.
“Inilah manifestasi ‘Muafakat Bersama’. Inilah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang wajar dipertahankan, malah dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri SADA di Menara SADA di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
Sementara itu, Ahmad Bashah dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih atas komitmen tinggi warga kerja SADA itu menangani masalah berkaitan bekalan air sepanjang musim perayaan ini sehingga memberikan hasil positif.
“Saya hendak berterus-terang raya baru ini, saya ucapkan terima kasih. Dua tiga hari sebelum raya, dan selepas raya pun saya tidur cukup lena (tiada masalah serius berkaitan bekalan air). Ini merupakan permuafakatan semua orang…kalau semua main peranan kita boleh buat terbaik,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri menerusi SADA akan terus mempertingkatkan usaha dalam memenuhi keperluan rakyat negeri ini mendapat bekalan air bersih mencukupi, kerana ia merupakan keperluan mutlak manusia.
Sumber : Sinar