BERGANTUNG PADA TIUB PERNAFASAN



1bergantung
KULIM 1 Jun - Seorang wanita yang mengalami masalah pernafasan memerlukan bantuan kewangan membeli tiub yang dimasukkan melalui lehernya untuk meneruskan hidup.
Suhada Khalid, 36, dari Kampung Padang Tembak, di sini terpaksa bergantung kepada tiub untuk bernafas sejak tiga tahun lalu yang berpunca daripada demam.
"Pada 2014 saya demam teruk sampai sesak nafas. Jadi saya pergi hospital tapi kena masuk ICU sampai sebulan di Hospital Kulim dan Bukit Mertajam.
"Bila doktor periksa tak tau sakit apa sebenarnya. Kerana susah nak bernafas ikut hidung, satu lubang ditebuk dekat leher untuk masukkan tiub pernafasan," katanya.
Menurutnya, kini dia terpaksa bergantung kepada tiub tersebut untuk bernafas dan perlu ditukar setiap enam bulan sekali di Hospital Bukit Mertajam.
"Harga tiub pula naik setiap tahun. Sekarang cecah lebih RM700. Memang ada hospital bayar separuh harga tapi saya kena sediakan duit dulu baru boleh claim," katanya.
Suhada berkata, kadangkala dia diserang sakit di bahagian leher dan memerlukan tiub baharu walaupun belum cukup tempoh enam bulan.
"Pernah juga bila saya lambat tukar, saya akan batuk teruk hingga menyembur darah ikut tiub," katanya.
Katanya, memandangkan kedua ibu bapanya juga tidak bekerja dan kurang sihat dia terpaksa meneruskan mengambil upah mengasuh kanak-kanak dengan bayaran RM300 selain bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 sebulan.
"Saya terpaksa ambil upah mengasuh budak. Sekarang mampu jaga dua orang saja dengan upah RM300 sebulan.
"Dengan duit ini saya simpan untuk kos rawatan dan beli tiub dan keperluan lain," katanya.
Lebih malang lagi, Suhada berkata, ibunya juga menghidap penyakit kencing manis dan terpaksa dirawat setiap hari di klinik.
"Mak saya ada sakit kencing manis sehingga dua jari dipotong dan perlu dicuci setiap hari dengan kos RM20 setiap hari," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Suhada di talian 012-5266725.
Oleh : Jamliah Hamzah
Sumber : Sinar