JKDM TERUS PANTAU KAWASAN SEMPADAN



4jkdm
SUNGAI PETANI 4 Jun - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kedah akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di kawasan sempadan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mencegah sebarang bentuk tindakan yang melanggar undang-undang.
Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, langkah yang dibuat itu adalah selari dengan peranan dan fungsi JKDM.
"Kita tidak membuat pemantauan berkala sebaliknya secara berterusan, bagi memastikan prosedur kawalan dapat dikuatkuasakan serta mencegah penyeludupan atau barangan yang tidak mendapat kelulusan dan tidak menepati permit import.
"JKDM tidak akan bertoleransi, jika tiada permit import (AP), kita akan terus tahan dan siasat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kastam Prihatin di Taman Seri Bayu dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Johari turut mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Thailand bersetuju untuk membuka pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, daripada 18 jam kepada 24 jam, pada 1 Januari 2019, iaitu selepas fasa kedua ICQS siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2018.
Katanya, JKDM Kedah sentiasa dalam keadaan bersiap siaga khususnya dari segi tenaga kerja.
"Terdapat 651 warga JKDM Kedah termasuklah 120 anggota penguatkuasaan, kita bersedia dan hanya menunggu pengumuman rasmi," katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 65 penerima dari lima buah kampung, yang terdiri daripada fakir miskin, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik, bagi meringankan beban perbelanjaan mereka sempena Ramadan.
Sumber : Sinar