JAMIN ISU AIR SELESAI MENJELANG 2020



7nafi
ALOR SETAR 31 Mei - Kerajaan Kedah memberi jaminan masalah bekalan air yang melanda beberapa kawasan terutamanya di Kuala Kedah, Pokok Sena dan Merbok akan berjaya diselesaikan apabila lima projek menaik taraf loji rawatan air disiapkan menjelang 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pe­ru­ma­han dan Kerajaan Tempatan, Bekalan­ Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, kese­mua projek yang menelan kos lebih RM600 juta itu dijangka dapat dimulakan tidak lama lagi selepas proses mengeluarkan tender dilakukan.
“Kita telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Pusat untuk menaik taraf lima loji rawatan air iaitu di Pelubang (Alor Setar), Bukit Selambau (Merbok), Kampung Sungai Limau (Baling), Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru (Yan dan Pendang) dengan peruntukkan lebih RM600 juta.
“Kerja menaik taraf Loji Rawa­tan Air Pelubang dijangka menyelesaikan masalah air di kawasan Alor Setar yang mengalami pembangunan pe­sat dari segi peruma­han dan komersial susulan pelaksanaan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah di Kuala Kedah.
“Tender untuk ke­lima-lima projek me­naik taraf loji rawatan air itu dijangka dikeluarkan pada Julai ini dan dengan itu, saya percaya masalah air di negeri ini akan dapat diselesaikan menjelang 2020,” katanya selepas majlis Penyerahan Tong-tong Air Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di sini hari ini.
Mengulas mengenai majlis itu, Badrul Hisham memberitahu, kerajaan negeri Kedah dengan kerjasama Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengagihkan sebanyak 1,000 tong air berkapasiti 900 liter air kepada rakyat negeri ini sempena Ramadan.
“Tong air ini telah diserahkan kepada ADUN BN di 16 kawasan sebelum diserahkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai tangki simpanan air di rumah mereka.
“Kita sedar tidak semua rak­yat di ne­geri ini yang mampu untuk membeli tong sebegini, jadi diharap­kan pemberian bantuan dapat meringankan beban penduduk yang mengalami masalah bekalan air terutamanya menjelang musim perayaan ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memastikan masalah bekalan air terganggu ketika musim perayaan akan dapat dikurangkan sebaik mungkin, namun pada masa sama, berharap pengguna dapat menyimpan air sebagai persediaan awal
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan