RAMAI PENIAGA AKUR



30ramai
ALOR SETAR 30 Mei - Pemantauan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah mendapati rata-rata peniaga di negeri ini akur dengan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 yang mula dilaksanakan sejak 22 Mei lalu.
Pengarahnya, Mohammad Fitri Hassan berkata, setakat ini terdapat cuma ada satu kes melibatkan sebuah pasar raya di Sungai Petani yang ingkar dengan penetapan harga tersebut menyebabkan pi­haknya terpaksa mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Bukan saja barangan dikawal, malah barangan yang harganya tidak termasuk dalam skim tersebut juga tidak menunjukkan pe­ningkatan harga yang ketara.
“Kalau harganya meningkat sekalipun, ia bukan kerana peniaga mengambil kesempatan sempena Ramadan sebaliknya lebih kepada urusan jual beli antara peniaga dan pemborong,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengetuai sepasukan penguat kuasa menjalankan tinjauan di Pasar Besar, di sini hari ini.
Terdapat 10 barang kawalan yang ditetapkan di bawah skim kawalan harga yang dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 19 Mei lalu iaitu kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir putih bertapis kasar, gula pasir putih bertapis halus dan tepung gandum.
Katanya, menerusi tinjauan itu­­, pihaknya mendapati ada da­lam kalangan peniaga turut menjual barangan pada harga le­bih rendah berbanding ditetapkan dalam skim tersebut.
“Sebagai contoh, kacang hijau dijual pada harga RM7 sekilogram berbanding RM8 seperti ditetapkan manakala kelapa parut dijual pada harga RM7 berbanding RM7.20,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna supaya bijak memilih sebelum membeli kerana terdapat barangan yang dijual pada kadar harga berbeza biarpun lokasi jualannya berhampiran.
“Dalam tinjauan tadi, anda boleh lihat sendiri bagaimana daun sup dijual pada harga RM8, RM10 dan RM12 oleh peniaga dalam pasar ini. Harga-harga ini berbeza kerana mereka memperoleh bekalan daripada pemborong berbeza yang turut memainkan peranan dalam penetapan harga barang,” katanya.
Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan