PENIAGA PERLU BUAT PILIHAN, BELIAN



30peniaga
PENDANG 30 Mei - Pengguna perlu bijak membuat pilihan dan pembelian bagi mendapatkan barangan keperluan harian yang segar pada harga lebih berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kenaikan harga mungkin berlaku disebabkan beberapa faktor termasuklah permintaan yang tinggi atau masalah kekurangan bekalan.
"Namun terdapat banyak tempat yang menawarkan barangan segar pada harga jauh lebih murah dan dalam hal ini, pengguna perlu bijak berbelanja, beli apa yang perlu dan pilih lokasi yang tawarkan harga lebih berpatutan.
"Contohnya kedai-kedai di bawah FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang menawarkan harga 20 peratus lebih murah dari pasaran semasa," katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Murai, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan kenaikan harga barangan seperti ayam dan ikan serta beberapa jenis sayur-sayuran di awal Ramadan.
Terdahulu, Suraya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, turut mengagihkan 22 tong air berkapasiti 100 liter kepada 22 penerima di Kampung Bukit Murai, yang terjejas akibat gangguan bekalan air.
Suraya berkata, selain kawasan seperti Dun Tanjung Dawai, Pantai Merdeka dan Kuala Nerang, Dun Sungai Tiang juga antara kawasan yang mengalami masalah bekalan air yang kritikal.
"Menerusi program Barakah Ramadan, Dun Sungai Tiang mendapat 150 tong air dan akan diagihkan segera bagi membolehkan penduduk terjejas menggunakan tong terbabit bagi menakung air pada waktu malam untuk kegunaan harian," katanya.
Tambahnya, bagi peringkat permulaan ini, keutamaan diberikan kepada rumah yang dihuni warga emas, ibu tunggal atau mereka yang mempunyai anggota keluarga yang ramai.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Murai, Rokiah Rozali, 53, berkata, sudah 22 tahun dia tinggal di situ dan masalah air semakin kritikal sejak dua tahun lepas.
"Saya terpaksa menggunakan air telaga dari rumah jiran lain untuk membasuh dan mandi, manakala air untuk minum dan memasak pula diperoleh dari rumah ibunya di Gajah Mati.
Bekalan air hanya ada pada pukul 2 atau 3 pagi, kalau terbangun sempatlah tadah, siang memang tiada bekalan langsung, tapi dengan adanya tong ini, mudahlah untuk kami takung air pada waktu malam untuk kegunaan siang hari," katanya.
Sumber : Sinar