PEMAIN TERIMA HABUAN SEBELUM RAMADAN



    21pemain
    ALOR SETAR 21 Mei – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memberikan insentif sebanyak RM20,000 kepada setiap pemain seperti yang dijanjikan jika mereka memenangi Piala FA dalam masa terdekat.
    Pengumuman itu dibuat Pre­siden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebaik sahaj tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini hari ini bersama skuad Lang Merah yang menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam malam tadi.
    Menteri Besar berkata, pihak­nya akan menyerahkan habuan itu dalam majlis meraikan kejayaan keempat Lang Merah itu bersama Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebelum bulan puasa.
    “Sempena kejayaan Lang Merah ini, kami (KFA) sedang mengatur majlis untuk meraikan kejayaan bersama Sultan Kedah, Raja Muda Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah dan pihak istana sebelum Ramadan ini.
    “Kami masih atur tarikh tetapi sebelum puasa ini kami akan selesaikan sekali dengan jamuan dan ganjaran (RM20,000) seperti yang saya janjikan sebelum ini,” katanya.
    Mengenai status Mohd. Nidzam Adzha Yusoff yang dilihat berjaya dalam tugasnya sebagai pemangku ketua jurulatih Lang Merah, Ahmad Bashah berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak pengurusan KFA untuk menilai prestasinya.
    “Pada masa ini, dia masih lagi jurulatih. Kami akan tengok tapi bergantung kepada penilaian pengurusan KFA. Ramai yang akan terlibat (melakukan penilai­an) tapi kami mahu ucapkan tahniah kepada Nidzam kerana dapat membimbing Kedah de­ngan baik sehingga membolehkan Lang Merah menang,” ujarnya.
    Beliau turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Kedah menjulang Piala FA selepas menjuarai Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih sebelum ini.
    “Terlebih dahulu, saya mahu berterima kasih kepada penyokong setia Lang Merah kerana sentiasa bersama pasukan Kedah... walaupun semalam semua berdebar menyaksikan perlawanan akhir tapi Alhamdulillah, penghujungnya kita menjadi juara.
    “Saya juga nak ucap tahniah kepada semua pemain kerana semangat mereka dari awal hingga tamat permainan begitu hebat. Pahang juga tidak kurang hebat tapi kita mungkin lebih bernasib baik. Kedua-dua pasukan mempunyai kehebatan masing-ma­sing,” katanya.
    Sumber : Utusan