HOSPITAL PAKAR BALING DIBINA TAHUN DEPAN

22hospital
BALING 22 Mei – Komitmen kerajaan untuk membina sebuah hospital pakar di daerah ini akan terlaksana tidak lama lagi berikutan tapak pembinaannya telah dikenal pasti.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, hospital tersebut akan dibina di tanah seluas 16.8 hektar berhampiran hospital sedia ada.
“Pembinaan blok empat tingkat ini menelan belanja sebanyak RM100 juta dan akan dimulakan pada tahun depan,” kata Chaw Min ketika melakukan lawatan kerja ke Hospital Daerah Baling (HDB) di sini semalam.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail.
Sementara itu kata Chaw Min, kerja membaik pulih tiga daripada 35 klinik desa di Baling dijangka siap menjelang Khamis ini manakala bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat-pe­ringkat.
Beliau berkata, kerja membaik pulih Klinik Desa Teloi Kanan, Klinik Desa Charuk Beras dan Klinik Desa Kuala Merah yang dimulakan pada 16 Mei lalu membabitkan kos RM46,000 kini siap dalam 80 peratus.
Jelasnya, Baling mempunyai klinik desa paling banyak di Kedah, namun hanya sebuah sahaja yang dibina baharu dan selebih­nya merupakan bangunan rumah bersalin kerajaan yang dinaik taraf menjadi klinik desa.
“Projek sama sudah dilaksanakan sebelum ini di Johor, Sabah, Sarawak serta Perak dan pada tahun ini di beberapa negeri lain termasuk Kedah,” katanya.
Jelas Chaw Min, kos untuk membaik pulih semua klinik desa di seluruh negara agak terhad dan tidak mencukupi, namun menerusi pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kos kerjanya menjadi lebih rendah manakala jangka masa pelaksana­an pula singkat.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan